Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lelaki didakwa sebabkan kematian rakan, miliki senapang patah tanpa permit

KAJANG, 15 JULAI: Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan kematian rakannya, memiliki senapang patah dan peluru tanpa permit sah, dalam kejadian tembakan di kebun durian berhampiran Sungai Gabai, minggu lepas.

Sali Hashim, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Syahrul Sazly Md Sain.

Di hadapan Muhammad Noor Firdaus, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian Mohd Izzwan Ahmad Shakri, 32, di Hutan Simpan Sungai Gabai Batu 18, Ulu Langat di sini pada 4.30 pagi, 6 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sali juga dituduh memiliki selaras senapang patah jenis Stevens No Stevens Of-26 tanpa permit yang sah pada 12 tengah hari di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret Syahrul Sazly, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir amunisi tanpa lesen yang sah di sebuah rumah di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat di sini pada 11.30 pagi, 8 Julai lepas mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Mahkamah kemudian membenarkan Sali diikat jamin RM13,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman dan Nurul Husna Amran manakala tertuduh diwakili peguam Roland Engan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut dipercayai terkena tembakan daripada selaras senapang patah yang dibawa rakannya di kebun durian berhampiran Sungai Gabai di Hulu Langat.

– BERNAMA


Pengarang :