Atlet badminton para negara Cheah Liek Hou ketika beraksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Yoyogi National Stadium pada 3 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Liek Hou mahu teruskan momentum cemerlang di Solo

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Berjaya meraih 11 gelaran berturut-turut dan 50 perlawanan tanpa kekalahan, juara Paralimpik Cheah Liek Hou mahu meneruskan momentum cemerlangnya di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia minggu depan.

Pemain badminton kategori SU5 berusia 34 tahun itu, bagaimanapun menjangkakan saingan sengit dari wakil tuan rumah yang diketuai musuh tradisinya, Dheva Anrimusthi pada temasya yang dijadualkan bermula 30 Julai hingga 6 Ogos ini.

“Lawan yang paling kuat untuk saya adalah dari Indonesia, kerana sebagai tuan rumah memang ada kelebihan di situ ditambah dengan persediaan rapi mereka untuk rangkul lebih banyak pingat menerusi badminton. Bukan sahaja Dheva, saya rasa mereka akan hantar beberapa pemain lain juga.

“Saya juga jangka akan dapat banyak tekanan dari penyokong mereka. Namun, saya harap dapat menunjukkan prestasi yang baik dan meneruskan winning streak saya dalam memastikan pingat buat negara,” katanya yang pernah meraih lima pingat di temasya berkenaan.

Liek Hou, pemain nombor satu dunia bagi kategori SU5, sebelum ini meraih emas acara perseorangan di edisi 2017 KL dan beregu lelaki pada edisi 2015 Singapura, selain dua perak dan satu gangsa.

Sementara itu, penyertaan Liek Hou bagi acara beregu pada kali ini, hanya akan diketahui selepas mesyuarat pengurus pasukan pada minggu depan.

“Saya pun belum mengesahkan lagi nak berpasangan dengan siapa kerana pemain (Muhamad Faris Ahmad Azri) masih diteliti, saya pun tak pasti sama ada beliau boleh beraksi di APG atau tidak,” jelasnya.

Kejayaan Liek Hou muncul acara perseorangan dan beregu menerusi gandingan dengan Muhamad Faris pada Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa 2022 di Dublin, Ireland pada hujung minggu lepas, merupakan gelaran ke-11 berturut-turut bagi beliau di peringkat antarabangsa sejak Oktober 2019.

Juara dunia enam kali bagi acara perseorangan dan lima kali bagi acara beregu lelaki itu, turut mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama badminton di Paralimpik pada edisi Tokyo 2020.

APG bakal kembali berlangsung selepas lima tahun, selepas edisi 2019 Filipina yang sepatutnya diadakan pada awal 2020 dan edisi 2021 di Vietnam dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :