AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS galak orang ramai bayar zakat secara bulanan, mudahkan agihan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menggalakkan para pengeluar zakat untuk melakukan pembayaran secara bulanan bagi membantu institusi itu menampung keperluan agihan zakat kepada golongan asnaf.

Ketua Divisyen Kutipan LZS Muhd Fikri Naim Harun berkata buat masa ini sekitar 65,000 keluarga asnaf terdiri daripada golongan fakir, miskin dan mualaf menerima bantuan zakat daripada LZS secara bulanan mengikut keperluan masing-masing.

“Kebanyakan pengeluar zakat akan mengira pendapatan tahunan mereka setiap hujung tahun dan kita boleh lihat jumlah kutipan zakat pada Disember adalah sangat tinggi berbanding 11 bulan yang lain. Justeru, kita menggalakkan pembayaran zakat secara bulanan dibuat untuk menampung jumlah agihan diperlukan untuk golongan asnaf setiap bulan,” katanya kepada Bernama.

Muhd Fikri berkata pada tahun lepas, LZS mencatatkan peningkatan jumlah kutipan zakat yang ketara kepada RM992.9 juta berbanding RM912.9 juta pada 2020 walaupun negara berdepan dengan masalah pandemik Covid-19 pada tempoh tersebut.

“Umat Islam kini mula sedar akan tanggungjawab mereka kepada agama dan kita mengucapkan terima kasih kepada pengeluar-pengeluar zakat di Selangor yang kini meningkat kepada 364,778 tahun lepas berbanding 346,415 orang pada 2020,” katanya.

Namun, beliau berkata pihaknya mendapati 23 peratus daripada keseluruhan pembayar zakat di negeri itu masih membayar dengan jumlah sama selama bertahun-tahun tanpa melakukan pentaksiran semula zakat mereka.

“Setiap tahun mereka akan membayar jumlah zakat yang sama, secara logiknya pasti ada kenaikan gaji atau pendapatan tahunan dan seharusnya jumlah pembayaran zakat juga ditambah bagi menyempurnakan ibadah zakat itu sendiri,” katanya.

Justeru, katanya melalui kempen Bulan Taksir Zakat (BTZ) bermula 15 Jun hingga 31 Julai yang dilaksanakan LZS adalah diharapkan masyarakat lebih cakna dan mahir untuk mentaksir jumlah zakat perlu ditunaikan.

“Kita memilih tempoh antara Jun hingga Julai bagi kempen ini kerana kebanyakan syarikat akan melakukan pelarasan gaji pada suku kedua setiap tahun, jadi amat sesuai untuk umat Islam melakukan taksiran zakat mereka, sebagaimana kita melakukan proses E-filing untuk pembayaran cukai setiap tahun pada Mac dan April,” katanya.

Menurutnya pelbagai saluran pembayaran zakat disediakan LZS seperti secara potongan gaji, perbankan internet, cawangan LZS dan yang terbaharu potongan terus secara debit untuk memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam keempat itu.

“Seiring dengan kemajuan teknologi, LZS juga menggalakkan pengeluar zakat melakukan pembayaran secara dalam talian, yang kini menjadi pilihan sekitar 25 peratus pembayar zakat di LZS mengikut rekod 2021,” katanya.

Menerusi kempen BTZ, pengeluar zakat yang memuat turun aplikasi Zakat Selangor dan membuat taksiran zakat seterusnya menunaikan zakat melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan, berpeluang menyertai peraduan Jom Taksir Zakat dan memenangi hadiah menarik.

Maklumat terkini berkenaan kempen BTZ boleh diperoleh di saluran rasmi LZS jom.zakatselangor.com.my atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor.

-BERNAMA


Pengarang :