Lembaga Zakat Selangor (LZS) menziarahi lapan keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Kechau, Semenyih pada 5 Julai 2022. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS ziarah Orang Asli di Semenyih, sumbang makanan dan wang tunai

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menziarahi lapan keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Kechau, Semenyih semalam.

Keluarga berkenaan baharu memeluk Islam dan pihak zakat turut menyerahkan bantuan makanan serta wang tunai.

“Reaksi gembira terlakar pada wajah mereka dengan kehadiran kami. Mereka ini jarang menerima tetamu daripada luar.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu keluarga Orang Asli ini menyara diri serta tanggungan selain memastikan mereka tidak ketinggalan dengan kemajuan arus perdana di luar,” kata LZS di Facebook.

Sempena Ramadan dan Syawal lalu, LZS mengagihkan bantuan kepada lebih 63,000 keluarga asnaf fakir, miskin serta mualaf membabitkan peruntukan berjumlah RM28.7 juta.

Setakat Jun, agensi berkenaan turut memperuntuk kira-kira RM42.152 juta bagi membantu penduduk negeri ini yang terjejas kejadian banjir pada Disember tahun lalu.


Pengarang :