Pengembara dari negara endemik cacar monyet akan menerima amaran kesihatan menerusi MySejahtera selama 21 hari untuk pemantauan kendiri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Rakyat Malaysia disahkan positif cacar monyet di Singapura

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes cacar monyet membabitkan seorang rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, kelmarin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata lelaki berusia 45 tahun itu berada di Johor Bahru pada 11 dan 12 Jun dan melancong ke Pulau Pinang pada 17 Jun hingga 20 Jun lepas.

Beliau berkata, lelaki berkenaan sekali lagi ke Johor Bahru pada 2 dan 3 Julai serta sudah mempunyai gejala pada waktu itu.

“KKM sudah mengadakan siasatan terhadap individu itu yang memberi kerjasama secara sukarela maklumat mengenai kontak rapat.

“Setakat ini terdapat 15 kontak rapat dikenal pasti iaitu 14 daripadanya adalah kontak kasual yang berisiko rendah untuk mendapat jangkitan cacar monyet kerana tidak bergejala.

“Seorang sudah dikenal pasti Kementerian Kesihatan Singapura dan sedang menjalani kuarantin di negara itu… punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Khairy berkata 14 kontak kasual itu telah dimaklumkan untuk menjalani ujian saringan kesihatan kendiri dan KKM akan terus memantau dan memastikan tiada sebarang jangkitan.

Beliau berkata KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Singapura dalam melengkapkan siasatan kes itu dan maklumat baharu yang diperoleh akan dikongsikan Focal Point negara masing-masing.

Selain itu, beliau berkata sehingga semalam, sebanyak lima kes disyaki cacar monyet dilaporkan di Malaysia namun beliau mengesahkan kesemua kes itu tidak membabitkan jangkitan wabak itu.

– BERNAMA


Pengarang :