Teraju Ekonomi Asnaf
Sebanyak 25 produk keluaran 10 usahawan asnaf bimbingan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dijual di Food Market Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais: 1,228 usahawan bebas status asnaf, mula bayar zakat

SHAH ALAM, 26 JULAI: Seramai 1,228 usahawan berjaya keluar daripada status asnaf menerusi Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Tuas) sehingga tahun lalu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata lebih membanggakan kesemua usahawan itu kini adalah pengeluar zakat sekali gus membantu golongan memerlukan.

“Program yang diuruskan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) membuktikan zakat bukan hanya menjadi umpan, malahan joran untuk dijadikan pancing supaya asnaf boleh hidup berdikari dan berjaya.

“Sejak sembilan tahun lalu bermula 2013, ramai usahawan asnaf berjaya dibantu melalui program usahawan ini dan seramai 1,228 orang berjaya bebas dari status asnaf dan kini berjaya menjadi pengeluar zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut di Dewan Orkid Wisma PKPS hari ini.

Pada masa sama, Abdul Aziz berharap Teras selaku organisasi yang membimbing usahawan asnaf perlu memastikan setiap program dilaksanakan relevan dan mampu memberi impak maksimum kepada golongan tersebut.

“Usahawan asnaf yang terpilih mengikuti program ini juga hendaklah mengambil peluang dengan semangat untuk mengubah kehidupan.

“Mais menerusi agensi dan anak syarikat iaitu Lembaga Zakat Selangor dan Teras terus komited untuk membantu usahawan asnaf keluar daripada kemiskinan,” katanya.


Pengarang :