Seramai 32 guru baru lantikan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengikuti Kursus Induksi Guru Pembimbing Riqab Mais 2022 selama tiga hari bermula 22 Julai hingga semalam. Foto MAIS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais anjur kursus khas, bantu guru pembimbing dekati asnaf riqab

SHAH ALAM, 25 JULAI: Seramai 32 guru baru lantikan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengikuti kursus mendekati asnaf riqab selama tiga hari berakhir semalam.

Mais memaklumkan Kursus Induksi Guru Pembimbing Riqab Mais 2022 itu diadakan bagi menyampaikan garis panduan dan memberi pendedahan secara terperinci kepada mereka yang baru dilantik.

“Kursus ini turut memberi pendedahan kepada guru pembimbing mengenai kesihatan pesakit HIV, dadah dan kesannya terhadap masyarakat serta ilmu asas kaunseling sebagai persediaan mendekati asnaf riqab semasa sesi bimbingan,” katanya di Facebook.

Menurut Mais, perasmian program penutup yang dikendalikan Bahagian Pemulihan Ar Riqab Mais itu disempurnakan Timbalan Setiausaha (Operasi) Mais Nurhani Salwa Jamaluddin.

“Beliau menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada guru-guru pembimbing riqab yang telah dilantik untuk menjalankan tanggungjawab membimbing serta membantu memulihkan semangat asnaf riqab di Negeri Selangor,” katanya.

Pada tahun ini Mais memberi sumbangan RM11.2 juta kepada 24 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) bagi kos program, pengurusan dan penjagaan.

Sumbangan itu bertujuan membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.


Pengarang :