Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof melepaskan konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir ke Baling, Kedah pada 16 Julai 2022. Foto Facebook Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais, Yide peruntuk RM120,000 bantu mangsa banjir Baling

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbangkan RM120,000 bagi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Mais menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan daripada jumlah itu sebanyak RM50,000 wang tunai dan 500 pek makanan asas dengan nilai sama disumbangkan oleh Mais.

“Manakala, sejumlah RM20,000 diperuntukkan Yide untuk sumbangan 100 unit selimut dan 100 unit dapur memasak.

“Sumbangan tunai daripada Mais itu akan diberi kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk mereka mengagihkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir,” maklumnya.

Dalam kenyataan sama, Mais memaklumkan pihaknya amat prihatin dengan keperluan masyarakat khususnya di Baling yang baharu sahaja terkesan dengan musibah lalu.

“Justeru, Mais bersama agensi dan anak syarikat sentiasa bersiap sedia untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dan semoga ia sedikit sebanyak meringankan bebanan mangsa,” katanya.

Semalam, Pengerusi Mais Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof turun padang melepaskan konvoi kumpulan Mais bersama agensi dan anak syarikat yang diketuai oleh Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Turut terlibat Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah dan Pengurus Besar Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Bakti Suci Holding Sdn Bhd Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun termasuk wanita hamil maut selepas dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir lumpur.


Pengarang :