Aksi pemain badminton perseorangan wanita Goh Jin Wei ketika perlawanan menentang pemain Amerika Syarikat, Beiwen Zhang pada perlawanan Badminton ‘Perodua Malaysia Masters 2022’ di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Masters Malaysia: Jin Wei hampir pengsan sebelum menang

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Akibat terlalu penat, bekas juara dunia remaja Goh Jin Wei berkata beliau hampir pengsan selepas set pertama perlawanan pusingan pertama Masters Malaysia 2022 di sini hari ini.

Jin Wei, yang merupakan satu-satunya perseorangan wanita negara masih beraksi dalam kejohanan itu, mengakui beliau telah menggunakan banyak tenaga dalam set pertama menentang pemain Amerika Syarikat Beiwei Zhang di Axiata Arena.

Bagaimanapun, perseorangan nombor 69 dunia itu akhirnya mengungguli perlawanan 21-19, 21-18 untuk meraih tempat di pusingan kedua esok.

“Saya rasa saya bertuah memenangi perlawanan ini.. saya hampir pengsan ketika mahu menukar gelanggang sebelum set kedua, mungkin saya terlalu fokus untuk dapatkan mata demi mata ketika set pertama,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Halangan sukar menanti Jin Wei di pusingan kedua apabila beliau dijadualkan bertemu perseorangan nombor dua dunia Tai Tzu Ying dari Taiwan.

Bagaimanapun, Jin Wei tekad untuk ‘menyajikan’ Tzu Ying dengan tentangan sengit.

“Saya akan ‘menikmati’ perlawanan dan pastinya akan cuba melakukan yang terbaik untuk memberi tekanan esok,” katanya.

Sementara itu beregu campuran negara Chen Tang Jie-Valeree Siow mempamerkan aksi bertenaga untuk mengejutkan pilihan kelapan Mark Lamsfuss-Isabel Lohau dari Jerman 21-17, 21-11.

Tang Jie, yang mengakui kurang konsisten hari ini, melahirkan rasa syukur dengan keupayaan Valeree menangani situasi dan membantunya sepanjang perlawanan itu.

Tang Jie-Valeree dijadualkan bertemu Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran selepas pasangan Thailand itu menewaskan Zachariah Josiahno Sumanti-Hediana Julimarbela dari Indonesia 21-18, 21-16.

Sementara itu, pemain profesional Soong Joo Ven gagal mara dalam dua kategori hari ini.

Joo Ven yang bergandingan dengan pemenang perak Olimpik Rio 2016 Goh Liu Ying dalam beregu campuran memenangi set pertama 21-19 sebelum tewas kepada pasangan Indonesia Hafiz Faizal-Serena Kani, 15-21, 18-21.

Terdahulu, Joo Ven disingkirkan oleh Li Shi Feng dari China 14-21, 12-21 dalam saingan perseorangan lelaki.

Beregu lelaki muda negara Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri pula berjaya mencatat kemenangan selepas berhempas-pulas selama satu jam lima minit menentang rakan senegara dan beregu profesional Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci, 15-21, 21-17, 21-17.

Wan Arif-Muhammad Haikal bakal berdepan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, selepas Wei Chong-Kai Wun menumpaskan Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah, 21-13, 21-14, dalam perlawanan antara dua beregu Malaysia pada pusingan pertama semalam.

– BERNAMA


Pengarang :