Aksi pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong ketika menentang pemain Kanada, Brian Yang pada perlawanan badminton ‘Perodua Malaysia Masters 2022’ di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Masters Malaysia: Tze Yong ke pusingan kedua, teruja bertemu Tien Chen

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Perseorangan lelaki utama negara Ng Tze Yong teruja dengan kemungkinan bertemu bintang Taiwan Chou Tien Chen dalam pusingan kedua Masters Malaysia 2022, esok.

Ini kerana, menurut Tze Yong, beliau jarang berpeluang menentang pemain badminton ternama dalam kejohanan yang disertainya sebelum ini.

Pemain nombor 48 dunia itu terdahulu membuat kejutan ketika menentang pemain pada tangga ke-31, Brian Yang, 21-15, 21-15, dalam pertemuan sulung mereka pada pusingan pertama kejohanan tersebut di Axiata Arena, di sini, hari ini.

Mengulas aksinya hari ini, atlet berusia 22 tahun itu berkata beliau berpuas hati dapat memberi kejutan kepada pemain Kanada itu apabila beliau mendominasi lawan dari mula hingga ke akhir untuk akhirnya memenangi perlawanan.

“Saya rasa bagus permainan saya tadi sehingga dapat buat kejutan ke atas Brian, harap esok lebih konsisten,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Sementara itu, pemain senior Liew Daren sekali lagi terkandas pada pusingan pertama, apabila tewas kepada pilihan kelapan Ng Ka Long Angus dari Hong Kong, 17-21, 15-21.

Pada Terbuka Malaysia minggu lepas Daren tewas kepada perseorangan India H S Prannoy 14-21, 21-17, 17-21.

“Saya akui saya agak perlahan hari ini. Sebenarnya saya bermain dalam kesakitan akibat kecederaan pangkal paha yang dialami sejak Terbuka Thailand, selepas ini saya harap dapat berehat,” ujar Daren.

Pemain profesional, Soong Joo Ven turut menamatkan cabaran selepas kecundang di tangan perseorangan China Li Shi Feng, 14-21, 12-21.

Sementara itu, perseorangan negara Leong Jun Hao gagal melangkah ke pusingan kedua selepas ditundukkan pemain Thailand Kantaphon Wangcharoen.

Setelah tewas 12-21 dalam set pertama, Jun Hao cuba bangkit pada set kedua namun akhirnya dikalahkan 18-21.

– BERNAMA


Pengarang :