Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 28 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB bangga prestasi cemerlang PKNS sepanjang lebih 50 tahun

SHAH ALAM, 29 JULAI: Dato’ Menteri Besar bangga dengan prestasi memberangsangkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sepanjang lebih 50 tahun penubuhan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata anak syarikat Kerajaan Negeri itu berada pada kelas tersendiri jika dibandingkan dengan perbadanan lain di negara ini.

“Sebut sahaja wilayah di Selangor, malah ibu kota Kuala Lumpur pasti ada bekas dan tapak dimulakan PKNS untuk dimajukan sebagai salah satu elemen atau aset yang membawa kemajuan kepada negeri serta negara.

“Alhamdulillah, PKNS telah berkembang daripada sebuah institusi yang ingin membangunkan komuniti dan masyarakat, kini melebarkan sayap dalam pelbagai sektor serta juzuk perniagaan.

“Dari industri tenaga, pembuatan hingga perkhidmatan, PKNS tidak ketinggalan meneruskan usaha pembangunan bandar serta perumahan kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PKNS 2021 malam tadi.

Acara di Pusat Konvensyen Shah Alam turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas.

Dalam pada itu, Amirudin mahu PKNS mengekalkan peranan sedia ada selain meningkatkan status dan kualiti demi kemajuan masa depan meski perlu berdepan pelbagai rintangan.

“Untuk melangkah dari satu tapak ke satu tapak ada cabaran timbul, namun ia harus digembleng bersama dengan kemampuan pengurusan dan seluruh warga kerja supaya boleh mencorak kaedah baharu pembangunan dalam negeri serta negara.

“Saya pasti bukan perkara mudah dan memberi bebanan tertentu kepada PKNS, tetapi saya yakin perubahan itu perlu kerana jika tidak ia hanya jadi satu titik sejarah yang akan dimuziumkan tanpa menggembleng idea baharu,” katanya lagi.

 

 


Pengarang :