Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kiri) bergambar bersama pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri ketika Majlis Makan Malam Amal Biro Ekonomi Amanah Selangor di Dewan Persatuan Bola Keranjang, Kuala Langat pada 3 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Iltizam Selangor Penyayang bantu ramai terima manfaat kesihatan, kebajikan

KUALA LANGAT, 4 JULAI : Kerajaan Negeri menambah baik program kesihatan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata pelbagai manfaat terkandung dalam ISP antaranya Selangor Saring membantu rakyat negeri ini memeriksa tahap kesihatan untuk mengesan penyakit kronik sejak awal lagi.

“Tahun ini kita tambah program Selangor Saring supaya rakyat bukan hanya dapat memeriksa kesihatan tetapi juga mampu mengelak sebarang penyakit kronik daripada terjadi sejak awal lagi.

“Ini terbukti Kerajaan Negeri sebuah kerajaan prihatin yang mahukan rakyat terus sihat dan terbela, kita buktikan bukan sahaja jaga kesihatan tetapi mahu memastikan rakyat sihat.

“Ini yang saya katakan bukan beri untuk gula-gula politik tetapi bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat secara keseluruhan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Amal Biro Ekonomi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor di Dewan Persatuan Bola Keranjang Kuala Langat di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri lebih 1,000 individu termasuk beberapa pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri antaranya Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim, EXCO Kerajaan Negeri Dato’ Teng Chang Khim dan Borhan Aman Shah.

Ketika di Program Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai, Amirudin memaklumkan sekitar RM67 juta diperuntukkan dalam kluster kesihatan ISP demi memastikan kehidupan penduduk lebih membangun dan mampan.

Jumlah terbabit merangkumi penganjuran 10 program utama iaitu Iltizam Selangor Sihat, Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor dan Saring Selangor.

Turut terkandung Saringan Barah, Nutrisi Makanan Kanak-kanak, Cakna Kesihatan Mental, Rawatan Tuberculosis, Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Skim Kesihatan Wanita.


Pengarang :