Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Jelajah bantuan rakyat diterus ke empat daerah, tawar pelbagai inisiatif kebajikan

Khairul Azran Hussin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Fasa kedua Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat diteruskan ke empat daerah dalam tempoh terdekat.

Dato’ Menteri Besar berkata program melibatkan daerah Klang, Sabak Bernam, Sepang dan Hulu Selangor menumpukan lima perkara utama iaitu kebajikan, keluarga, perumahan, kesihatan dan pendidikan.

“Program fasa kedua adalah kesinambungan kepada Jelajah Selangor Penyayang yang sedang berlangsung sekarang iaitu di Dataran Boulevard, Petaling hari ini dan pada 31 Julai depan di Padang Awam Batu Caves, Gombak.

“Sebelum ini, kita sudah melaksanakan program sama di daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) siaran TV3 , hari ini.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar turut merasmikan Jelajah Selangor Penyayang yang berlangsung di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, program di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi membolehkan lebih ramai penduduk menerima manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Karnival itu turut diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air Hazama dan Ernie Zakri, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, jualan barangan asas murah, pameran dan jualan.


Pengarang :