Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama Sasterawan Negara ketika Program Pemukiman Sasterawan Dan Karyawan sempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB jumpa Sasterawan Negara, bincang cara majukan industri seni negeri

PETALING JAYA, 14 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan pertemuan dengan penggiat seni tanah air termasuk tujuh Sasterawan Negara (SN) hari ini.

Mereka ialah Datuk Seri Dr A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Dato’ Baha Zain, Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Dato’ Rahman Shaari.

Menerusi Program Pemukiman Sasterawan dan Karyawan sempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), beliau mendengar segala cadangan dikemukakan penggiat seni bagi mengembangkan karya di negeri ini.

Antaranya berkaitan pemberian biasiswa kepada pelajar seni, langkah mengangkat martabat seni Selangor ke peringkat antarabangsa, pemberian elaun khas kepada karyawan serta pembinaan pusat seni.

“Segala cadangan akan diperhalusi. Sejak dilantik EXCO, saya memang terlibat dengan bidang seni dan budaya tetapi dulu kita tiada kemudahan untuk melaksanakannya.

“Sekarang kita ada PPAS, jadi kita boleh kembangkan isi persuratan, kesusasteraan, kebudayaan… Kita boleh anjurkan program kemasyarakatan dan laksana polisi untuk membugarkan lagi aktiviti seni,” katanya.

Amirudin berkata pertemuan berkenaan akan disusuli tindakan dan pelan perancangan menyeluruh bagi memastikan matlamat tercapai.

“Harap dapat berkerjasama dan kembangkan lagi dunia persuratan, kesusasteraan, seni di Selangor dan Malaysia. Ini boleh jadi pemangkin baharu untuk budaya masyarakat,” katanya.


Pengarang :