Pemandangan Stadium Shah Alam yang merupakan salah satu mercu di Selangor dirakamkan dari atas. Foto Wikipedia
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: RM787 juta bukan kos bina tetapi anggaran baik pulih stadium

SHAH ALAM, 18 JULAI: Dato’ Menteri Besar menjelaskan kos RM787 juta bukan untuk membina stadium baharu, sebaliknya anggaran baik pulih yang dinyatakan oleh jawatankuasa khas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos itu besar kerana ia melibatkan banyak kerja antaranya meninggikan platform stadium bagi mengelak banjir, meruntuh bumbung polikarbonat dan menukar sistem pendawaian elektrik.

“Kos ini termasuk kos meninggikan platform stadium sebanyak 1.5 meter bagi mengelak kejadian banjir berulang, kos keseluruhan bagi menukar sistem pendawaian elektrik, kos menukar keseluruhan struktur bumbung dan meruntuhkan struktur bumbung sedia ada, kos pembaikan padang serta kos membaiki sistem perpaipan,” katanya hari ini.

Mengulas perkembangan kompleks sukan terkenal itu di Facebook, beliau juga berkata pembangunan semula kawasan tersebut bukan melibatkan Stadium Shah Alam sahaja tetapi juga Stadium Malawati.

Selain kenyataan itu, beliau turut melampirkan empat infografik ringkas berhubung pembangunan semula kawasan tersebut. Intipati penting seperti berikut:

– selain dibina sejak 1994, perbelanjaan besar RM787 juta diperlukan kerana banjir sejak 2006 dan kenaikan harga barang binaan

– Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan sebarang kos kerana projek ini melibatkan kerjasama awam-swasta

– Kerajaan Negeri akan mendapat kompleks dan kemudahan sukan yang terkini dan berteknologi tinggi

– dijangka siap selepas pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3 tersedia

– orang ramai dan berkepentingan boleh memberi maklum balas apabila pameran awam diadakan pada September ini

Dalam media sosial sama, Amirudin berkata kedaifan binaan itu dilihat beliau sendiri ketika menjadi EXCO sukan sejak 2014 dan ia memberi kenangan manis untuk pasukan bola sepak Selangor.

“Isu dan keadaan Stadium Shah Alam amat dekat di hati saya, tambahan pula kenangan dan memori memenangi Piala Malaysia terakhir (pada 2015) bersama pasukan Merah Kuning di sini,” katanya.

Tambahnya, beliau cukup memahami keluhan dan kekecewaan peminat bola sepak serta rakyat negeri ini dengan keadaan stadium, namun kekerapan bah besar mengakibatkan kerosakan.

Kerajaan Negeri membelanjakan RM56 juta sejak 2013 bagi membaik pulih stadium tersebut antaranya bumbung, bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik serta saliran air.

“Oleh kerana saiznya yang besar serta kebanyakan bahan gantian mahal, kos menyelenggara semakin meningkat. Dijangka kos keseluruhan bagi membaik pulih fasiliti mencecah RM787 juta.

“(Kos) ini adalah berdasarkan laporan serta kajian terperinci yang terbaharu pada tahun lalu,” jelasnya, merujuk dapatan jawatankuasa khas yang diketuai bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Dato’ Roslan Abdul Aziz.

Pada 15 Julai, Amirudin berkata pembangunan semula kompleks sukan itu diserahkan kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang pernah menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pembangunan tersebut dijadual bermula awal tahun depan dan dijangka siap pada 2026.

 

 


Pengarang :