Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan kesihatan percuma analisa lebih 8,000 sampel, kesan penghidap barah

SHAH ALAM, 25 JULAI: Program pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring menganalisa sebanyak 8,950 sampel sejak inisiatif itu dilancarkan pada Mei, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata data sehingga 17 Julai itu melibatkan 7,422 sampel ujian air kencing dan darah manakala 1,528 sampel membabitkan saringan kanser.

“Untuk ujian kanser, sebanyak 1.6 peratus iaitu 25 sampel didapati positif dengan kanser kolorektal mencatatkan jumlah tertinggi manakala kanser serviks paling rendah.

“Justeru, pengenalan program Selangor Saring merupakan langkah tepat meningkatkan kesedaran awam untuk menjalani saringan awal dan secara berkala,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata usaha tersebut tidak hanya terhenti setakat saringan sahaja sebaliknya individu dikesan menghidap penyakit kritikal dibantu mendapatkan rawatan termasuk pembiayaan kos perubatan.

“Kerajaan Selangor ada laksana beberapa program rawatan sakit kritikal seperti jantung. Kita sediakan dana untuk bantu individu yang benar-benar layak malah Ahli Dewan Negeri boleh memberikan cadangan (nama) kepada EXCO.

“Kos bantuan antara 50 hingga 70 peratus daripada harga rawatan malah ada sesetengah kes dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, barah servik, payu dara dan prostat selain ujian darah najis okulta atau kolorektal.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui http://selangorsaring.selangkah.my atau hubungi talian Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :