Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berbual bersama peserta program derma darah ketika Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor peruntuk RM67 juta, jayakan program kesihatan rakyat

KUALA SELANGOR, 2 JULAI: Sekitar RM67 juta diperuntukkan dalam kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) demi memastikan kehidupan penduduk lebih membangun dan mampan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah terbabit merangkumi penganjuran 10 program utama iaitu Iltizam Selangor Sihat, Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor dan Saring Selangor.

Turut terkandung Saringan Barah, Nutrisi Makanan Kanak-kanak, Cakna Kesihatan Mental, Rawatan Tuberculosis, Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Skim Kesihatan Wanita.

“Dari masa ke masa kita akan tingkatkan lagi program kesihatan rakyat terutama Peduli Sihat. Kita pertimbang untuk lebarkan manfaatnya dan jika perlu kita tambah perlindungan insurans.

“Sebenarnya kualiti kesihatan di Selangor semakin meningkat. Pada 2008, kadar jangka hayat sekadar 68 hingga 69 tahun tapi pada 2019 selepas ada kesedaran kesihatan meningkat ke 75 tahun,” katanya pada sidang media program Jelajah Selangor Penyayang hari ini.

Pelaksanaan ISP membabitkan peruntukan RM600 juta menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Minggu lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga.

Program seterusnya dijadual berlangsung di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (23 Julai) seterusnya di Padang Awam Batu Caves, Gombak (31 Julai).


Pengarang :