Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program hala tuju membentuk naratif pembangunan masyarakat India di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 3 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Unit khas urus program usahawan, perkasa sosioekonomi komuniti India

KLANG, 4 JULAI: Semua program keusahawanan komuniti India negeri ini dihimpunkan di bawah unit khas kendalian pejabat menteri besar.

Dato’ Menteri Besar berkata gabungan inisiatif sedia ada dengan beberapa penambahbaikan bertujuan memperkasa sosioekonomi kaum terbabit terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Saya percaya di Selangor nanti akan ada institusi seperti Dewan Perniagaan Malaysia (DPM) yang menghimpunkan ramai usahawan. Mereka (DPM) mula latih usahawan sejak di peringkat belia dan universiti.

“Kita akan laksanakan sebaik mungkin. Bukan tumpu beri bantuan alatan niaga atau salur dana semata-mata, sebaliknya bimbing mereka kerana keusahawanan adalah soal sikap, pemikiran dan taktik bagaimana mahu maju dalam perniagaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap dalam program hala tuju membentuk naratif pembangunan masyarakat India di Malaysia di Hotel Wyndham Achmar di sini, malam tadi

Program mengumpulkan 96 peserta daripada 63 badan bukan kerajaan (NGO) turut dihadiri Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pemberian bakul makanan bukan lagi jalan penyelesaian terbaik untuk membantu golongan terbabit keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Saya percaya pendapatan merupakan isu besar sering membelenggu masyarakat India. Mereka tidak boleh lagi diberi dengan bakul makanan kerana mereka juga mementingkan maruah yang perlu dipertahankan.

“Kalau dulu di ladang, buat makan tujuh hari tujuh malam tetapi bagi saya ini bukan solusinya, tetapi (penyelesaiannya adalah) sistem program keusahawanan yang baik dan menyeluruh untuk komuniti India,” katanya.

Kerajaan Negeri melaksanakan program khusus untuk masyarakat India seperti Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) yang menawarkan latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, bimbingan perniagaan serta bantuan alatan niaga atau geran.

Selain itu, Selangor turut memperuntuk RM1.7 juta pada April tahun lalu bagi menjayakan program India Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (i-seed) melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang diusahakan.


Pengarang :