Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor (dua, kanan) menyerahkan daging korban kepada seorang penerima dalam program ibadah korban Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Wisma MBSA, Shah Alam pada 13 Julai 2022. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA agih daging korban kepada warga kerja, golongan memerlukan

SHAH ALAM, 18 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengagihkan daging korban berupa 17 ekor lembu dan empat kambing sempena Aidiladha kepada asnaf fakir miskin, warga kerja, peserta program dan penyewa.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata program ibadah korban di Wisma MBSA 13 Julai lalu dikelolakan badan dakwahnya melibatkan 78 sukarelawan iaitu kakitangan dalam proses penyembelihan itu.

“Program diadakan saban tahun ini sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Daging lembu dan kambing diagihkan kepada tiga bahagian iaitu peserta, kakitangan MBSA dan penyewa serta asnaf fakir miskin dari Masjid Jamek Raja Tun Uda Seksyen 16, Masjid Kampung Padang Jawa dan asnaf orang asal muslim Bukit Bandaraya Shah Alam,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 135 petugas termasuk kakitangan dan ahli majlis MBSA bergotong royong membantu kerja melapah, memotong dan membungkus daging korban.

Majlis penyerahan kepada peserta dan penerima disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor.


Pengarang :