Program Hari Bertemu Pelanggan adalah platform yang disediakan MBSA untuk orang ramai menyalurkan aduan, pandangan dan cadangan bagi menambah baik sistem penyampaian. Foto ihsan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA
PBTSELANGOR

MBSA anjur Hari Bertemu Pelanggan pada Rabu ini di Plaza Shah Alam

SHAH ALAM, 4 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan pada Rabu ini bertempat di Plaza Shah Alam mulai jam 11 pagi hingga 5 petang.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, berkata program itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai khususnya penduduk Shah Alam untuk menyalurkan aduan dan permasalahan yang berlaku di kawasan pentadbiran MBSA.

“Program Hari Bertemu Pelanggan adalah komitmen berterusan MBSA untuk mempertingkat dan memperbaiki sistem penyampaian komuniti setempat.

“Ia juga memberi peluang kepada orang ramai untuk membayar tunggakan kompaun sempena tawaran istimewa pengurangan sebanyak 30 peratus untuk kompaun di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (PTLK) MBSA 2007,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata Hari Bertemu Pelanggan itu juga memberi peluang kepada jabatan, bahagian dan pejabat cawangan MBSA untuk mempromosikan perkhidmatan mereka kepada orang ramai yang hadir ke program itu.

“Pelbagai perkhidmatan disediakan semasa program ini berlangsung antaranya semakan dan bayaran cukai taksiran, semakan dan bayaran kompaun khususnya kompaun trafik serta semakan aduan permohonan ubahsuai premis,” katanya.


Pengarang :