EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau projek penggantian paip pembentung di kawasan industri Taman Puchong Jaya hari ini. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

MBSJ ganti paip pembentung, elak banjir kilat di Puchong Jaya berulang

PETALING, 19 JULAI: Seramai 30 pemilik syarikat sekitar kawasan industri Bandar Puchong Jaya, dekat sini boleh menarik nafas lega apabila projek penggantian paip pembentung dijangka siap minggu ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata kerja penggantian selama dua minggu melibatkan peruntukan kira-kira RM50,000 itu membolehkan saliran sedia ada menampung kapasiti air sekali gus mengelakkan banjir kilat berulang.

“Banjir mula berlaku sejak Mac lalu dan ia menyebabkan ada premis terpaksa menanggung kerugian melebihi RM100,000.

“Susulan itu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) turun padang menyiasat dan mendapati saluran pembentung sempit sebagai punca. Jadi kita besarkan supaya masalah banjir tidak lagi berlaku,” kata Ng Sze Han selepas meninjau projek berkenaan hari ini.

Justeru, Ahli Dewan Negeri Kinrara itu berkata masalah infrastruktur yang dihadapi rakyat boleh diatasi segera tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi sekiranya pihak berkuasa tempatan sering turun padang.

“Jika semua pihak memainkan peranan, sebarang masalah boleh selesai segera. Macam isu hari ini, tak perlu kos besar dan tak perlu tempoh lama,” katanya.

Sementara itu pengarah GT One Smartkey Sdn Bhd berkata pihaknya pernah menanggung kerugian sehingga mencecah ratusan ribu selepas kenderaan pelanggannya ditenggelami air.

“Air naik dengan cepat dan mengambil masa lama untuk surut. Kami terpaksa memecahkan dinding untuk keluarkan air. Harap masalah ini tidak berulang lagi selepas pembentung diganti,” kata Khoo Teck Seng kepada Selangorkini.


Pengarang :