Penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memeriksa premis makanan sekitar USJ 10 di kawasan pusat komersial Taipan pada 5 Julai 2022. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ keluar 10 kompaun premis makanan kotor, letak perkakas atas lantai

SHAH ALAM, 9 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 10 kompaun terhadap premis makanan sekitar USJ 10,  pusat komersial Taipan, kerana melanggar peraturan pengendalian makanan.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata antara kesalahan dilakukan adalah pekerja premis makanan tidak mengambil suntikan imunisasi demam kepialu.

Selain itu, Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan terdapat premis beroperasi dalam keadaan kotor serta meletak bahan makanan mentah, peralatan dapur dan pinggan di lantai.

“Penguat kuasa MBSJ memeriksa sebanyak 51 premis makanan sekitar USJ 10 di kawasan pusat komersial Taipan pada 5 Julai lalu.

“Empat kompaun tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu atau apa-apa penyakit, lima kompaun gagal menjaga kebersihan premis dan satu kompaun gagal memastikan bahan mentah atau peralatan dapur kurang 20 cm dari lantai,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan dikeluarkan di bawah UUK 9(f) Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MBSJ) dan Seksyen 15 Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPSJ) 2007, sabit kesalahan didenda maksimum sehingga RM 1,000.

“Operasi ini adalah sebahagian tindakan penguatkuasaan berterusan MBPJ terhadap premis makanan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan orang awam terpelihara.

“MBSJ akan sentiasa meneruskan pemantauan seperti ini bagi memastikan tiada penyakit bawaan air dan keracunan makanan berlaku,” katanya.

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memeriksa premis makanan sekitar USJ 10 di kawasan pusat komersial Taipan pada 5 Julai 2022. Foto MBSJ

Pengarang :