Kakitangan bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memeriksa premis perniagaan yang menjual minyak masak peket serta botol. Foto Twitter Alexander Nanta Linggi
AGENDANASIONAL

Menteri: Tatacara jualan dalam talian diperketat, elak ketirisan barang kawalan, subsidi

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Tatacara jualan dalam talian khususnya membabitkan barang kawalan dan bersubsidi akan diperketat bagi mengekang ketirisan serta penyelewengan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya hari ini, Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti beberapa langkah mengetatkan tatacara berkenaan.

Berkongsi usaha menggempur kegiatan dagangan barang kawalan dan bersubsidi menerusi rajutan di Twitter itu, Nanta berkata sebanyak 38 iklan penjualan minyak masak peket serta botol yang dipaparkan di dua platform dalam talian terkenal telah diarah diturunkan.

“Penguatkuasaan yang dijalankan bagi tempoh 1 hingga 12 Julai lepas, sebanyak 18 premis yang mempunyai alamat penjual pada platfrom dalam talian berkenaan digempur dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bekalan minyak masak peket serta botol.

“Sebanyak 255 peket minyak masak satu kilogram (kg) dan 41 botol minyak dalam kemasan 500gram, satu kg, dua kg dan tiga kg disita dengan nilai rampasan keseluruhan RM1,495.50,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Nanta berkata justeru, satu kes direkodkan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan (PKB) 1974 iaitu mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong atau runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4.

Menurutnya bagi kes kedua pula, tindakan diambil mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan.

“Kedua-kedua kes itu sedang dalam tindakan mengikut saluran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.

Dalam rajutan di Twitter beliau itu, Nanta turut mengepilkan gambar iklan minyak masak yang diturunkan di platform jualan dalam talian dan operasi gempur kegiatan dagangan barang kawalan serta bersubsidi dilaksanakan kementeriannya.

– BERNAMA


Pengarang :