Penggunaan CRS antara langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini. Foto Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Kerusi keselamatan lindungi kanak-kanak, kurang risiko cedera jika nahas

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) berupaya meningkatkan keselamatan dan perlu dipandang serius untuk digunakan terutamanya ketika musim perayaan yang risiko berlakunya kemalangan adalah lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menerusi satu kenyataan hari ini berkata ibu bapa perlu menggunakan CRS agar kadar kemalangan dan nahas jalan raya yang melibatkan kanak-kanak dapat dikurangkan.

“Ketika ini terdapat satu program yang masih dijalankan iaitu Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) yang bertujuan untuk membantu golongan B40 memiliki CRS pada harga mampu milik.

Sehingga kini jumlah penerima yang layak untuk menerima subsidi di bawah Program MyCRS ini adalah sebanyak 256,202 daripada 473,346 pemohon iaitu melebihi 36 peratus daripada sasaran asal jumlah penerima subsidi, iaitu sebanyak 188,000 penerima,” menurut kenyataan itu.

Miros turut mengatakan bahawa bagi permohonan yang berjaya akan dilanjutkan tempoh sah subsidi pembelian kepada tiga bulan dari tarikh semakan dan mereka perlu untuk mengambil kesempatan ini dengan membeli CRS dari 259 wakil penjual bertauliah di seluruh Malaysia.

Menurut Miros, ia juga menjalankan Program Jelajah Subsidi MyCRS bagi meningkatkan pembelian MyCRS yang disubsidi seterusnya meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya penggunaan CRS.

Miros berkata program yang bermula bulan ini dilaksanakan di klinik-klinik kesihatan serta lokasi terpilih lain di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Melalui program ini Miros akan membantu orang awam yang berkelayakan untuk mendaftar dan mendapatkan kelulusan permohonan subsidi dengan segera dan pengunjung yang hadir ke lokasi program juga berpeluang untuk mendapat baucar diskaun tambahan.

Maklumat lanjut berkenaan tarikh Program Jelajah Subsidi MyCRS akan dimaklumkan dari semasa ke semasa di media sosial dan rasmi Miros.

– BERNAMA


Pengarang :