Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mendapati terdapat 1,600 guni baja jenis tinja ayam dilonggokkan di kawasan kebun pisang di Taman Bunga Raya Bukit Beruntung. Foto MPHS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPHS: Pemaju dakwa kenyataan pekebun tidak benar, tanah milik kerajaan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Susulan aduan kacau ganggu bau di Taman Bunga Raya Bukit Beruntung pada 4 Julai lalu, pemaju tanah MK Land mendakwa tanah kebun pisang disewanya kepada pengusaha adalah tidak benar.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi kenyataan memaklumkan dalam satu perjumpaan bersama pihak MK Land didapati tanah kebun bukan milik mereka sebaliknya rizab kerajaan seluas 2.83 hektar.

“MK Land berkata pihaknya tidak pernah memberikan apa-apa kebenaran atau sewaan kepada mana-mana individu untuk tujuan pertanian dan sebagainya.

“Justeru, aduan ini sudah dirujuk ke Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor (PTDHS) dan mereka mengesahkan tanah tersebut adalah rizab kerajaan bagi tujuan membina masjid,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MPHS berkata kesalahan itu tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menceroboh tanah kerajaan.

“MPHS sudah mengeluarkan notis kepada pengusaha kebun terbabit dan tindakan selanjutnya akan dilaksana PTDHS,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik kebun diminta memberi laporan kepada MPHS selepas kerja pembersihan dilakukan.

Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan itu mengeluarkan notis amaran kepada pemilik dan pengusaha kebun pisang susulan aduan masalah bau di Taman Bukit Raya 2, di Bukit Beruntung semalam.

Menurut MPHS, berdasarkan siasatan dijalankan pada 11 pagi semalam, pihaknya menemui 1,600 guni baja jenis tinja ayam yang dilonggokkan di kebun pisang berkenaan.


Pengarang :