Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Mohd Hasry Nor Mohd (lima, kanan) bersama penerima Geran Khas Komuniti Mampan pada majlis minum petang pada 15 Jun 2022. Foto MPHS
PBT SELANGOR

MPHS: Permohonan geran komuniti fasa dua dilanjut sehingga 29 Julai

SHAH ALAM, 18 JULAI: Permohonan geran komuniti mampan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) fasa dua yang dijadual ditutup pada 15 Julai lalu dilanjutkan sehingga 29 Julai ini.

Yang dipertuanya berkata permohonan geran bernilai RM50,000 itu dibuka kepada komuniti, institusi pendidikan dan keagamaan yang terbabit dalam projek teknologi hijau serta alam sekitar.

Menurut Mohd Hasry Nor Mohd geran berkenaan bertujuan membantu komuniti melaksanakan projek bagi meningkatkan kualiti hidup dan persekitaran selari matlamat mewujudkan bandar rendah karbon.

“Selain itu, ia membantu komuniti Hulu Selangor mempelbagaikan inovasi yang dihasilkan dalam projek mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata fasa satu permohonan membabitkan peruntukan RM100,000 mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan komuniti.

“Alhamdulillah kita menerima 29 penyertaan serta dinilai di bawah kategori teknologi hijau dan alam sekitar. Tahniah kepada pemohon yang berjaya.

“MPHS tekad memastikan kesejahteraan penduduk tercapai dan menyediakan persekitaran mampan untuk semua,” katanya lagi.

Borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.mphs.gov.my atau Facebook MPHuluSelangor.

Maklumat lanjut boleh hubungi urusetia bahagian pembangunan mampan Jabatan Perancangan Bandar MPHS di talian 03-60641331 atau sambungan 123 atau 156.


Pengarang :