Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakukan serbuan di kafe siber yang beroperasi secara haram di Jalan Kusta, Kawasan Perindustrian SB Jaya, Sungai Buloh pada 18 Julai 2022. Foto MPS
PBTSELANGOR

MPS serbu kafe siber haram, penjaga lolos melalui bumbung

SHAH ALAM, 20 JULAI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerbu sebuah kafe siber yang beroperasi secara haram di Jalan Kusta, Kawasan Perindustrian SB Jaya, Sungai Buloh kelmarin.

Yang Dipertua Mohd Yazid Sairi berkata pihaknya menerima aduan premis tersebut tidak memiliki lesen selain menjalankan kegiatan judi haram menerusi permainan video sejak tiga minggu lalu.

“Ketika serbuan sekitar jam 1.30 tengah hari didapati pemilik premis tiada dan hanya dua penjaga berada dalam kafe terbabit.

“Namun, mereka berjaya meloloskan diri melalui bumbung premis apabila menyedari kehadiran pihak penguat kuasa MPS,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, hasil serbuan bersama tujuh anggota merampas sebanyak 14 unit tablet dan enam komputer riba.

Tindakan dibuat mengikut UUK 3, Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 2007 atas kesalahan menjalankan operasi secara haram.


Pengarang :