Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai pameran sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPS tawar potongan kompaun hingga 70 peratus di Gombak 31 Julai 

SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menawarkan pengurangan bayaran kompaun sehingga 70 peratus dalam Jelajah Selangor Penyayang di Gombak pada Ahad ini.

Pengurangan itu membabitkan kompaun di bawah Akta dan Undang-Undang Kecil sempena ulang tahun ke-25 MPS.

Menerusi Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan, MPS juga menawarkan bayaran saman serendah RM10 bagi kesalahan tempat letak kereta berbayar.

Bertempat di Padang Awam Batu Caves bermula jam 8 pagi hingga 6 petang, orang ramai yang mempunyai kompaun tertunggak disaran merebut peluang berkenaan.

Maklumat lanjut boleh hubungi Jabatan Perundangan MPS di talian 03-6126 5800 atau 5881 atau 5882.

Program Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal diadakan di Gombak pada 31 Julai di Padang Awam Batu Caves.

Bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, program turut diserikan dengan persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, pameran dan jualan.

Program anjuran Kerajaan Negeri yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebelum ini dijayakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor dan Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Pengarang :