Exco Perumahan Rodziah Ismail (dua, kiri) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Abd. Hamid Hussain (tengah) melawat tapak projek yang telah siap selepas majlis Perasmian Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Putra Perdana, Sepang pada 22 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPSepang manfaat dana RM140,000 naik taraf kawasan lapang pangsapuri

OLEH NORZILAWATI SIDEK

SEPANG, 22 JULAI: Pangsapuri Ruvena Villa, di sini kini berwajah baharu dengan pelbagai kemudahan selepas kawasan lapangnya dinaik taraf menerusi Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor (SDG 11).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata projek yang bermula Februari lalu berjaya disiapkan dua bulan lebih awal menerusi dana RM140,000 daripada Kerajaan Negeri.

“Projek seumpama ini secara tidak langsung membantu kita mencapai salah satu matlamat pembangunan bandar dan komuniti yang mampan,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian projek berkenaan, di sini yang disempurnakan oleh Exco Perumahan Rodziah Ismail.

Exco Perumahan Rodziah Ismail (dua, kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Abd Hamid Hussain (kanan) melawat tapak projek yang telah siap selepas majlis Perasmian Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Putra Perdana, Sepang pada 22 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi projek itu, beberapa kemudahan di kawasan lapang pangsapuri berkenaan dinaik taraf antaranya termasuklah taman permainan kanak-kanak, tapak bersenam dan refleksologi, kolam, wakaf selain pemasangan lampu solar dan papan tanda.

Abd Hamid berharap kemudahan berkenaan memberi manfaat kepada 3,500 isi rumah yang menghuni 900 unit membabitkan 22 blok di pangsapuri itu.

“Saya harap Perbadanan Pengurusan Pangsapuri (JMB) Ruvena Villa dapat bertanggungjawab untuk menjaga kawasan lapang ini dan penduduk sama-sama bertanggungjawab menjaga kemudahan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JMB Che Othman Abdullah berkata kediaman itu terpilih untuk menerima peruntukan naik taraf berdasarkan komitmen semua ahli jawatankuasa (AJK) yang terlibat.

“Tanpa komitmen daripada AJK, saya sendiri tidak berani menerima projek tersebut. Kita tidak boleh bergerak tanpa satu kumpulan

“Bila saya pastikan semua badan terlibat seperti JMB, pihak surau dan Rukun Tetangga sedia memberi kerjasama, kami buat satu pakatan bagi menjayakan projek ini,” katanya.


Pengarang :