Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (dua, kiri) menyerahkan surat niat kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (kanan) sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bagi cadangan pembangunan Stadium Shah Alam di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri pada 15 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MRCB dipilih untuk naik taraf Stadium Shah Alam, atasi 15 syarikat lain

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri hari ini menyerahkan surat niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi menaik taraf Stadium Shah Alam.

Penyerahan LOI dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam sidang media, Amirudin menjelaskan MRCB dilantik untuk mengurus projek ini selepas mengambil kira kedudukan kewangan selain pengalaman membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017.

Menyifatkan projek pembangunan itu sebagai perkongsian awam-swasta dengan penyelesaian menang-menang, beliau berkata syarikat itu dipilih selepas melalui proses pemilihan ketat bersama 15 syarikat lain.

Berdasarkan terma LOI, katanya, pemaju akan mengadakan perbincangan lebih mendalam dengan Kerajaan Selangor berhubung rancangan baik pulih tersebut.

“Segala cadangan dan pandangan telah diteliti dan akan dikemukakan kepada pemaju untuk dipertimbang,” katanya.


Pengarang :