Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya fasa satu beroperasi dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu mulai jam 3 petang pada 16 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MRT3: MRT Corp dalam proses lantik perunding, kontraktor kendali lima pakej kerja

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) kini dalam proses melantik perunding pengurusan projek (PMC) serta tiga kontraktor untuk pakej kerja sivil (CMC) bagi pembinaan projek MRT Laluan Lingkaran (MRT3).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata tender bagi pakej kerja sistem akan dibuka kelak.

“Semua usaha meningkatkan ketersambungan MRT akan memberi pilihan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ahmad mahu kementerian menyatakan status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), HSR (Kereta Api Berkelajuan Tinggi), Lebuhraya Pan Borneo, MRT dan lebuh raya baharu bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan.

MRT3 melibatkan jajaran sepanjang 51km termasuk dua depoh dan 33 stesen dan 10 daripadanya adalah stesen pertukaran yang menyambungkan MRT3 dengan stesen sedia ada termasuk KTM, LRT, Monorail, MRT Laluan Kajang dan MRT Laluan Putrajaya.

Sepanjang 12km daripada jajaran MRT3 adalah jajaran bawah tanah manakala 39km lagi merupakan jajaran bertingkat.

Wee berkata projek MRT3 akan melibatkan lima pakej kerja, yang terdiri daripada satu PMC, tiga CMC dan satu pakej kerja sistem, manakala bagi projek MRT2, sehingga Jun, ia mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 98.4 peratus dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2023.

“Pembukaannya kelak akan menggalakkan peralihan mod kepada pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665km pula, setakat Jun lepas ia telah mencapai kemajuan sebanyak 31.48 peratus.

– BERNAMA


Pengarang :