BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Muslihat Nelson Mandela dari penjara, atur strategi lawan perkauman

Oleh Abdullah Hussaini

Perang Dunia Pertama baru berakhir ketika seorang bayi dilahirkan di desa kecil di tebing Sungai Mbashe. Tahun itu berakhirnya Perang Besar dan meletusnya wabak selesema. Bayi itu dinamakan Rolihlahla bererti ‘menarik ranting pokok’.

Ayahnya seorang ketua kaum dan penasihat raja. Dibesarkan dalam keluarga yang boleh dikira senang, segala pengalaman ketika itu sedikit sebanyak membentuk jati diri dan sarwa pandangnya kelak. Namun siapa sangka, Rolihlahla, anak daripada isteri ketiga ayahnya, akan menempuh jalan berliku dalam hidupnya untuk mencapai kebebasan bangsa dan negaranya.

Banyak petikan kata-kata Nelson Mandela yang terkenal berkenaan pendidikan. Baginya, pendidikan adalah jalan pembebasan. Bebas daripada penjajahan, kemiskinan dan kekolotan. Ketika usia muda lagi, sewaktu cuti belajar, raja suku kaumnya mengaturkan perkahwinan untuknya.

Meski raja tersebutlah individu yang mendanai pendidikannya tetapi pelajaran membuatkan Mandela melawan aturan adat daripada seorang raja yang perintahnya tidak boleh diingkari. Dia memutuskan untuk melarikan diri—menjual lembu sang raja, menyewa kereta dan lari ke stesen keretapi lain untuk mengelak daripada dihalang sang raja.

Dalam autobiografinya yang terkenal Mandela: Long Walk to Freedom (terjemahan Mandela: Jalan Berliku Menuju Kebebasan), beliau mencatatkan pergelutan bersama sahabat baiknya Justice Dikgang Moseneke untuk melarikan diri. Antara halangan ketika itu adalah penduduk kulit hitam berumur 16 tahun ke atas dikehendaki membawa pas kebenaran khas.

Pas yang dipanggil ‘pas pribumi’ itu kepada mana-mana polis kulit putih, penjawat awam atau majikan. Tidak cukup itu, mereka juga perlu menunjukkan dokumen perjalanan, surat penjaga dan majikan. Ternyata dasar apartheid yang diperkenal kerajaan Parti Kebangsaan Afrikaner pada 1948 begitu mencengkam penduduk terbanyak Afrika Selatan.

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan bagaimana pendidikan menyalakan semangat dalam diri Mandela untuk memimpin unit separa tentera pertubuhan perjuangan yang disertainya.

Ketika menjadi peguam pelatih di firma milik seorang Yahudi, Mandela menampilkan kecekapannya sebagai pekerja. Pemilik firma hitu, seorang budiman yang tidak membezakan kaum kulit putih atau hitam. Mandela juga semakin mendekati politik. Rakan sekerjanya ahli parti komunis. Dia juga sempat berkenalan dengan beberapa pemimpin pergerakan lain walaupun beberapa kali dinasihati bosnya Lazar Sidelsky, agar menjauhi dunia politik yang rosak dan kotor.

Tolak komunis

Mandela menyatakan menjadi orang Afrika di Afrika Selatan bermakna seseorang itu terlibat dengan politik saat dia lahir, sama ada sedar atau tidak. Tambahnya, “anak Afrika dilahirkan dalam ospital untuk orang Afrika sahaja, dibawa ke rumah oleh bas untuk orang Afrika sahaja, tinggal dalam kediaman untuk orang Afrika sahaja, dan hadir ke sekolah untuk orang Afrika sahaja.”

Apatah lagi pelecehan, penghinaan dan sekian banyak kutukan, menyemarakkan lagi kemarahan dalam diri, mewujudkan pemberontakan untuk melawan sistem yang mengekang rakyat. Mandela pengagum Walter Sisulu, seorang pejuang bangsanya dalam Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

Di rumah, Walter banyak pertemuan anak muda berlaku dan Mandela belajar beberapa perkara penting, antaranya perasaan rendah diri adalah halangan terbesar menuju pembebasan. Di rumah ini juga dia bertemu dengan isteri pertamanya Evelyn Mase.

Mandela dan rakan-rakannya percaya kepada perjuangan bersifat militan. Pada hari Paskah 1944, Liga Pemuda ANC ditubuhkan. Sayap ini bersifat Afrikanisme. Ketika itu Mandela sendiri menolak kerjasama dengan komunis (ideologi asing) dan orang kulit putih.

Ketika ANC menggerakkan Kempen Penentangan, ia mendapat sokongan padu kawasan bandar tetapi gagal menembusi pedesaan. Kemudian pada 1952, Mandela terpilih sebagai salah seorang timbalan presiden. Saat ini, dia semakin giat menggerakkan kesedaran dan penentangan dasar aparteid melalui kempen-kempen yang dijalankan ANC.

Beberapa tahun kemudian Mandela dan seluruh kepimpinan eksekutif ANC ditahan atas tuduhan pengkhianatan tertinggi.

Mereka dikumpulkan di Penjara Johannesburg sebelum melewati pelbagai kerumitan sewaktu proses pendakwaan dalam mahkamah. Mandela berdepan pula keruntuhan rumah tangganya. Mandela dan Evelyn berpisah dan tiga anak mereka ternyata terkesan akibatnya.

Penjara 27 tahun

Buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ini, terbit 2018, akan membuatkan kita benar-benar bersama Mandela mengharungi suka-duka perjuangannya. Tidak hairanlah jika ramai pemimpin politik menyarankan buku ini.

Bahagian paling membekas dalam buku ini cukup banyak tapi barangkali, paling mengesankan adalah bahagian yang menceritakan kehidupan Mandela sepanjang tempoh dipenjarakan. Bayangkan terpaksa menghabiskan 27 tahun di penjara ketika bangsa dan negara memerlukan suara dan tindak di luar sana.

Apakah nyala perjuangan Mandela memudar? Pastilah tidak. Bahkan, di penjara, Mandela merencana untuk pendukung partinya di luar sana. Penjara mengajarnya mengawal diri dan berfikiran lebih tajam, bercampur dengan pelbagai watak.

Di penjara juga, dia membina jaringan politik dengan banduan dari bangsa lain. Pada 1990, di tengah desakan awam dan kecaman antarabangsa, Mandela dibebaskan. Dia mendapat sambutan luar biasa ketika menyampaikan ucapan di Cape Town.

Segenap masyarakat berkumpul meraikan kepulangan wira mereka. Panjang sekali jalan berliku yang dilaluinya dan akhirnya membuahkan kejayaan. Namun bagi Mandela ujian sebenar kesetiaan terhadap kebebasan baru sahaja bermula ketika melangkah keluar dari penjara.

Tanggal 18 Julai dinamakan Hari Mandela. Satu hari untuk mengenang Mandela tidak cukup untuk kita merasai jerih payah perjuangannya, tetapi mungkin cukup untuk membelek beberapa halaman dari buku ini dan menyematkan dalam hati: kebebasan itu hak setiap insan.

*Penulis adalah penterjemah IBDE, projek penerbitan karya agung tajaan Kerajaan Negeri


Pengarang :