Nabil Ahmad dan isterinya Nazirah Ayub ketika menunaikan umrah pada Ramadan 2015. Foto ihsan Nabil Ahmad
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Nabil malu ambil pakej mewah haji, ‘mengaji pun tidak pandai’

Pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah, Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada Ramadan 2015, hati Nabil Ahmad terus terpaut. Lantas juara program Raja Lawak 2008 memanjatkan doa agar diberi peluang menjadi tetamu Allah.

Namun beliau tidak menyangka peluang ke tanah suci itu hadir beberapa bulan selepas itu. Kali ini, bagi menunaikan ibadat haji, rukun Islam kelima yang sememangnya dinantikan setiap muslim.

Panggilan ‘mengejut’ untuk mengerjakan ibadat haji itu disambut Nabil dengan penuh rasa syukur meski tempoh singkat untuk dirinya membuat persiapan.

Penghibur itu mengimbau pengalamannya termasuk dugaan dihadapi sebelum berlepas ke tanah suci kepada wartawan Amin Ridzuan Ishak pada 28 Jun lalu.

Sekitar Ogos 2015, sebulan selepas menunaikan umrah, pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad mendapat panggilan daripada sahabatnya yang memberitahu sesuatu perkara yang cukup mengejutkannya.

Rakannya mempelawa selebriti itu mengisi satu kekosongan untuk mengerjakan haji pada musim itu selepas seorang daripada 20 peserta menarik diri. Kelu lidahnya dan tidak mampu mengungkapkan kata-kata sebaik mendengar berita berkenaan.

Berita gembira itu diiringi linangan air mata. Hatinya berkata ‘mungkin Allah makbulkan doa aku ketika umrah dahulu’. Ketika 10 hari terakhir Ramadan di tanah suci semasa menunaikan umrah, Nabil sering berdoa dipanggil semula menjadi tetamu Allah.

Tetapi suami kepada Nazirah Ayub itu tidak menyangka rezekinya hadir secepat itu. Dipilih mengerjakan rukun Islam kelima, sesuatu yang tidak pernah difikirkan dalam usia mudanya.

Namun timbul persoalan sama ada dirinya layak mendapat panggilan seumpama itu. Akui Nabil, dirinya masih belum sempurna dan bersedia kerana cetek ilmu agama.

“Saya macam tidak percaya kerana ini bukan ibadah biasa, haji ini sangat tinggi dan saya seolah-olah rasa tidak layak. Saya mengaku amal ibadah tidak seberapa, mengaji al-Quran pun tidak pandai.

“Tetapi peluang itu tidak harus dilepaskan kerana ini panggilan Allah dan saya terpilih,” kata bekas pekerja penghantaran itu sebelum menceburi bidang hiburan.

Isteri risau

Berita itu disampaikan kepada keluarganya yang gembira dan mengadakan kenduri doa kesyukuran. Bagaimanapun terdetik kerisauan di hati Nazirah, bimbang jika Nabil meninggal dunia di tanah suci.

Itulah cabaran bagi Nabil meyakinkan isteri. Hatinya tidak keruan menjelang penerbangannya pada 19 September 2015. Banyak perkara bermain di fikirannya sehingga terasa mahu batalkan rancangan mengerjakan haji.

Beliau mendapatkan nasihat guru agama yang memintanya berdoa supaya diberi ketenangan. Seloroh Nabil, mungkin syaitan ingin menggugat hatinya supaya tidak ke sana.

“Itu ujian sebelum pergi, isteri risau saya tidak lagi balik. Saya pujuk dia dan kata kalau ditakdirkan meninggal dunia di sana….itu rezeki kerana ‘pergi’ di tempat suci dalam keadaan mengerjakan ibadah tertinggi.

“Memang hati runsing waktu itu. Ada juga fikir tidak mahu buat haji, sebab fikir saya muda lagi waktu itu (32 tahun) mungkin boleh tangguh bila tua nanti…tetapi saya bimbang membayangkan nyawa ditarik sebelum sempat tunaikan haji walau sudah diberi peluang,” ujar Nabil.

Rasa tidak percaya terpilih menunaikan haji turut dirasakannya pada saat sebelum memasuki perut pesawat. Namun, beliau menguatkan azam kerana yakin semua takdir itu sudah tertulis.

Bapa kepada tiga anak itu bersyukur dapat menunaikan rukun Islam kelima dengan lancar dan baik selama 12 hari berada di Makkah.

Nabil Ahmad bergambar di sekitar Tanah Suci ketika menunaikan haji pada September 2015. Foto ihsan Nabil Ahmad

Tidak mahir baca Quran

Meski tidak mahir mengaji al-Quran, penghibur itu memanfaatkan sepenuhnya beribadah dan cuba mengisi kekosongan jiwanya. Di sana, beliau menikmati pengalaman yang tiada di tanah air.

Timbul juga perasaan malu kerana menikmati pelbagai kemudahan seperti hotel mewah serta khemah selesa berbanding jemaah lain. Amalannya tidaklah sehebat insan lain. Hatinya tersentuh melihat jemaah menggunakan pakej muassasah yang berada dalam keadaan sebaliknya.

“Masa di Arafah, saya lihat pakcik dan makcik dalam keadaan berpanas, berlindung di sebalik pokok sedangkan saya duduk di khemah selesa malah ada orang sambut hari lahir saya di sana.

“Sebab itu bila orang panggil saya haji bila balik, saya segan sebab tidak pandai mengaji. Di sana ketika jemaah lain dalam bas baca al-Quran saya hanya mampu lihat sahaja.

“Saya baca surah lazim yang saya hafal sahaja, Allah tunjuk itu semua dan bila balik saya belajar perlahan-lahan. Alhamdulillah dapat khatam pada awal tahun ini ketika keluar tabligh selama 40 hari di Kajang sehingga Johor,” katanya.

Hazama kirim doa

Beliau turut berkongsi peristiwa yang membuktikan kebesaran Allah ketika berada di sana. Ketika di Arafah iaitu kemuncak haji, rakan baiknya yang juga penyanyi Hazama menghubunginya untuk mendoakan keselamatan ibunya.

Ketika itu, ibu Hazama berada dalam bilik untuk pembedahan jantung. Penyanyi itu tidak sanggup kehilangan ibu dan meminta Nabil berdoa supaya pembedahan berjaya.

“Saya pun sampaikan doa Hazama di tanah haram pada waktu itu. Keesokan harinya, Hazama memberitahu ibunya selamat. Saya gembira sangat kerana Allah kabulkan doa seorang anak yang baik untuk ibunya.

“Itu kebesaran Allah. Kita berdoa di tempat dan waktu paling baik. Ramai minta kirim doa dan saya harap Allah akan kabulkannya…kalau bukan di dunia mungkin di akhirat nanti,” ceritanya.

Bagi Nabil, mengerjakan ibadah haji mempunyai pengertian tersendiri. Ia mungkin satu peringatan dan kehendak Allah supaya umatnya kembali kepada fitrah agama dan keluar berdakwah ke jalan Islam.

Baiki diri

Mengambil contoh dirinya, jemputan untuk menjadi tetamu Allah itu membolehkannya memperbaiki diri dengan persekitaran agama antaranya sentiasa beribadah dan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Tetapi bila kita pulang semula ke Malaysia adakah kita buat itu semua? Apakah kita solat ikut waktu? Ikut sunnah Rasulullah pakai jubah dan serban untuk sembahyang. Kadang-kala kita ini pakai pakaian yang sempat dicapai sahaja.

“Sebab itu saya kata bila terpilih mengerjakan haji ini, ia sebenarnya satu proses untuk melatih diri bagi memperbaiki kehidupan dan harus keluar ke jalan dakwah,” katanya.

Anak kelahiran Seremban itu juga mendedahkan sejak menunaikan haji, saban tahun beliau mengunjungi tanah suci pada 10 malam terakhir Ramadan.

Hanya pada 2020 dan tahun lalu, Nabil tidak dapat berkunjung akibat penutupan pintu sempadan negara susulan penularan Covid-19.

Mengerjakan haji memberi kesan besar kepada kehidupannya. Diri Nabil lebih dekat dengan agama dan penghibur itu mula berdakwah dengan menyertai tabligh.

Meski pun begitu Nabil kekal aktif dalam hiburan kerana ia sumber pendapatannya. Pada sudut pandang lain pula, beliau mahu mengembangkan syiar Islam menerusi hiburan.

“Proses ini berjalan secara perlahan-lahan dan saya harap ada rezeki serta kesempatan untuk keluar sepenuhnya ke jalan agama, itu impian saya,” cerita Nabil.


Pengarang :