Program Pemukiman Sasterawan Dan Karyawan sempena sambutan 50 tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri iktiraf sumbangan sasterawan, cadang beri anugerah khas

PETALING JAYA, 15 JULAI: Kerajaan Negeri bercadang memberikan Anugerah Sasterawan Selangor kepada karyawan sebagai penghargaan kepada golongan tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata anugerah dikhaskan kepada penggiat seni atau pengkarya yang layak serta banyak menyumbang kepada Selangor.

“Ini (Anugerah Sasterawan Selangor) kita akan fikirkan selepas Anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS). Kita akan anugerahkan kepada pengkarya yang layak, yang beri sumbangan kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Pemukiman Sasterawan dan Karyawan sempena sambutan 50 tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di sini.

Majlis turut disertai tujuh Sasterawan Negara iaitu Datuk Seri Dr A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Dato’ Baha Zain, Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Dato’ Rahman Shaari.

Kerajaan Selangor menganjurkan Anugerah HSS yang dilhamkan Dato’ Menteri Besar pada 2015 ketika beliau menyandang jawatan EXCO Kebudayaan Negeri.

Ia bertujuan memupuk kemahiran seni sastera dalam kalangan penulis, khususnya yang masih baru dan belum mendapat tempat dalam beberapa penerbitan lain.


Pengarang :