Tinjauan Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri luluskan 10 projek Rumah Selangorku, tawar lebih 4,000 unit

SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan 10 projek perumahan Rumah Selangorku tahun ini melibatkan 4,818 unit kediaman.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata pembinaan rumah mampu milik itu dibangunkan sekitar Gombak, Klang, Hulu Langat dan Sepang.

“Untuk tahun ini, MMKN luluskan 4,818 rumah melibatkan 10 projek setakat 1 Julai. Kelulusan melalui dua peringkat iaitu dari jawatankuasa Rumah SelangorKu.

“Kemudian diangkat ke MMKN untuk kelulusan termasuk melihat aspek teknikal dan dinilai pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Rodziah berkata projek berkenaan merangkumi kategori Rumah Selangorku, Rumah Idaman dan Rumah Harapan.

Sebanyak 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk sejak 2018 sehingga 15 November tahun lalu.

Rumah jenis C paling banyak siap iaitu 9,294 unit diikuti jenis D (7,822 unit), jenis B (4,122 unit) manakala jenis A (2,019) dan jenis E (1,171).


Pengarang :