Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melepaskan Konvoi Misi Selangor Penyayang: Bantuan Pascabanjir Baling, Kedah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri pertimbang bantuan kewangan buat mangsa bah di Baling

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kerajaan Negeri sedia mempertimbang bantuan kewangan kepada penduduk di Baling, Kedah yang terkesan dengan insiden kepala air dan banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

Beliau menjelaskan tumpuan kini untuk memulihkan 12 lokaliti terjejas dengan Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) akan membantu mengalihkan pokok dan membuka semula laluan terputus.

“Jadi satu dua hari selepas bencana, kita fokus hal itu dulu (pembersihan) supaya mangsa boleh segera pulang. Selepas itu, baru kita umumkan (bantuan kewangan),” katanya selepas melepaskan konvoi misi bantuan pascabanjir ke Baling di dataran pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini.

Misi Selangor Penyayang diketuai Setiausaha Bahagian Unit Pengurusan Bencana Selangor Mohd Ikram Rahimi berserta 189 pegawai pihak berkuasa tempatan dan 20 Sukarelawan Selangor.

Sebanyak 33 jentera dan 112 alatan dibawa bagi menjayakan operasi bantuan meliputi pacuan empat roda (4×4), van dan lori Roll on Roll Off (RoRo) dan lori tipper.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada petang Isnin menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu.

 


Pengarang :