Orang ramai mula beratur sejak jam 7.30 pagi sempena Jualan Karnival Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tapak bazar Ramadan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai serbu jualan murah barangan asas seawal jam 7.30 pagi

KUALA LANGAT, 5 JULAI: Tapak bazar Ramadan Taman Perwira Sijangkang di sini hari ini menjadi tumpuan orang ramai yang enggan melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah.

Orang ramai menyerbu jualan murah barangan asas sempena Aidiladha Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat hari ini. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tinjauan di lokasi mendapati pengunjung sanggup beratur seawal jam 7.30 pagi meskipun Jualan Karnival Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu hanya bermula jam 9 pagi.

Kehadiran pengunjung ke tapak lokasi jualan berjalan lancar hasil pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) termasuk penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat.

Pengunjung juga dibekalkan dengan seunit beg tote yang diedar secara percuma di pintu masuk bagi memudahkan mereka meletak barang pembelian.

Dalam kesempatan itu, PTD Kuala Langat turut menyediakan kaunter hasil bergerak Smart Selangor bagi memudahkan orang ramai membayar cukai tanah.

Orang ramai membeli barang keperluan asas sempena Jualan Karnival Ehsan di Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat hari ini. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

PKPS menganjurkan jualan murah barangan asas empat hari berturut-berturut di lima lokasi mulai hari ini sempena Aidiladha.

Produk ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepeket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepeket).

Jualan mulai jam 9 pagi hingga 2 petang itu turut menjual beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula.

 


Pengarang :