5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 dianggarkan layak menerima subdisi bersasar minyak masak paket pada 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Padah seleweng bekalan minyak masak bersubsidi, lesen 15 syarikat dibatal

SHAH ALAM, 6 JULAI : Lesen 15 syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi ditarik semula oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak tahun lalu.

Tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati syarikat terbabit menyeleweng bekalan minyak masak paket satu kilogram ke negara jiran, maklum Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid.

“Semua syarikat ini akan diheret ke mahkamah untuk pertuduhan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta. Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

“Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta, ” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bercakap selepas mengadakan pemeriksaan terhadap dua premis pembungkusan minyak masak di Seksyen U5 di sini semalam, Rosol berkata penarikan lesen itu menjejaskan penghasilan minyak masak paket sebaliknya kuota pengeluaran tetap 60,000 kilogram sebulan itu diberikan kepada syarikat lain.

Katanya, KPDNHEP turut menyiasat dua lagi syarikat pembungkusan di Selangor dan Perak kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan minyak masak paket ke negara jiran.


Pengarang :