Murid Sekolah Kebangsaan Ladang menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki kelas bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 21 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pakar saran guru ada ilmu kesihatan, bantu tangani gejala Influenza di sekolah

SHAH ALAM, 23 JULAI: Gejala awal Penyakit Seperti Influenza (ILI) di sekolah boleh dicegah sekiranya guru mempunyai pendedahan mengenai ilmu kesihatan, kata Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata guru berkenaan boleh mengambil langkah pencegahan yang tepat dengan segera sekali gus mencegah penyebaran lebih teruk terutama di sekolah berasrama penuh, lapor Berita Harian hari ini.

“Sebagai contoh, jika ada pelajar yang mengalami gejala ILI, mereka akan ditempatkan di bilik isolasi dan apabila berada di situ, guru perlu memantau mereka. Guru juga perlu memastikan bilik isolasi tidak menempatkan ramai pelajar pada waktu yang sama bagi mengelak penularan.

“Jika guru mempunyai pendedahan ilmu kesihatan, sudah pasti mereka dapat mengambil langkah sewajarnya seperti mendapatkan rawatan segera bagi kes yang teruk, sekali gus membantu mengelak penularan,” katanya.

Prof Sharifa Ezat berkata setiap sekolah perlu memiliki kemudahan kesihatan asas seperti alat jangka suhu, paracetamol, ubat cirit-birit dan alat pengukur kadar oksigen.

“Selain itu, penting juga pihak sekolah memastikan bilik isolasi mempunyai tandas khas supaya pelajar yang mendapatkan rawatan di bilik itu tidak menggunakan tandas lain,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, ILI sudah bertembung dengan Covid-19 dan walaupun ia bukan pandemik, ia wabak yang perlu dibimbangkan kerana boleh menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan, khususnya bagi golongan rentan.

“Di Malaysia, secara umum tidak ramai yang mendapatkan vaksin Influenza kerana suntikan itu perlu dibuat setiap tahun, selain harganya yang mahal. Namun, dalam keadaan ketika ini, bayi seawal usia enam bulan dan pelajar di sekolah amat digalakkan mendapatkan suntikan vaksin Influenza,” katanya.


Pengarang :