Pengunjung meluangkan masa melihat lukisan selepas majlis perasmian Pameran Sembuh di UiTM Shah Alam pada 6 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pameran Sembuh platform perupa muda tonjol bakat seni

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pameran Sembuh di Hab Media Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini menjadi medan terbaik untuk pengkarya muda menonjolkan seni rupa masing-masing buat pertama kali.

Pengarah Galeri Shah Alam berkata pameran dengan kerjasama institusi terbabit berjaya menghimpunkan 45 karya catan, arca dan media baharu anak muda berusia enam hingga 30 tahun dari seluruh negara.

“Ia adalah tapak mula kepada mereka yang tidak pernah mengadakan pameran solo. Ruang sebegini penting untuk menempatkan diri dalam lapangan seni rupa tempatan sekali gus membina kerjaya.

“Jadi kita membuat panggilan terbuka kepada perupa muda dengan harapan supaya selepas ini mereka tidak rasa takut lagi untuk cuba mengetengahkan karya ke pameran lebih besar,” kata Alina Abdullah ketika ditemui.

Pameran bertemakan Bangkit Dalam Segala disempurnakan Pengarah Urusan Galeri G13 Kenny Teng di Bangunan Perpustakaan Tun Abdul Razak hari ini.

Pengarah Galeri Seni Shah Alam, Alina Abdullah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Alina memaklumkan pameran tersebut akan diteruskan tahun depan dengan tema berbeza selain menyasarkan lebih banyak penyertaan.

“Kita sentiasa menyediakan ruang dan tapak bagi perupa muda menunjukkan bakat mereka dan memberi lonjakan dalam industri seni kreatif,” katanya.

Berlangsung dari 4 hingga 21 Julai, pameran itu turut menyediakan aktiviti lain seperti bengkel seni sembuh dan sesi bual bicara.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pameran bermula 9 pagi hingga 4.30 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti Galeri Shah Alam boleh dicapai melalui pautan https://galerishahalam.com/ .

 


Pengarang :