Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pek nutrisi Selangor bantu tumbesaran anak, jimat belanja ibu bapa

KUALA SELANGOR, 3 JULAI: Seorang ibu mengakui tumbesaran anak berada di landasan yang betul sejak mengamalkan pengambilan makanan bernutrisi melalui inisiatif Anak Selangor Anak Sihat (Asas).

Salmiah Mohd Zaimi, 37, yang tinggal di Kampung Assam Jawa berkata cahaya mata tunggalnya, Nawalia Tzulfa Khairul Zul Azizi tidak mengalami masalah bantut sebaliknya berat badan bergerak seiring dengan usianya yang kini menginjak empat tahun.

Salmiah Mohd Zaimi, 37

“Sejak lahir lagi memang saya beri dia makan makanan berkhasiat. Sepanjang tempoh berkenaan boleh nampak perkembangan fizikalnya berdasarkan graf berat untuk umur.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan kit nutrisi ini sekali gus menjimatkan kos RM400 sebulan. Kalau di luar harganya sudah tentu mahal dan diharap ia berterusan bagi membantu perkembangan anak-anak,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima kit nutrisi Anak Selangor Anak Sihat yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor dekat sini, semalam.

Bagi Araika Ismaruhina Ismail, 26, dia berharap pek makanan berkhasiat dapat membantu anaknya Aireen Miqayna Mohammad Mahatdir, 3, yang mempunyai masalah berat badan iaitu hanya sembilan kilogram(kg).

Araika Ismaruhina Ismail, 26

Menurutnya, meskipun mempunyai selera makan selain kerap mengamalkan vitamin, namun dia bimbang dengan perkembangan fizikal anak ketiga daripada empat beradik itu tidak seperti kanak-kanak lain.

“Malah beberapa kali saya jumpa pakar makanan, tetapi tiada perubahan pada dirinya. Jadi saya harap makanan nutrisi yang diberikan ini dapat menaikkan lagi berat badan dia,” katanya yang tinggal di Kampung Api-Api.

Pada 28 Jun lalu, ahli penasihat kesihatan awam Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengagih pek makanan nutrisi kepada kira-kira 720 kanak-kanak yang layak menerusi program Asas.

Dr Mohammad Farhan Rusli berkata pek makanan nutrisi itu disalurkan selama lima bulan berturut-turut kepada kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

Menerusi program it, kanak-kanak akan memperoleh pek makanan nutrisi antaranya susu tepung penuh krim, biskut kraker, bijirin dan multivitamin bagi membantu penyerapan kalsium serta menguatkan tulang.


Pengarang :