Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad ketika bual bicara dan hi-tea Puspanita daerah Kuala Selangor bersama Pekawanis pada program Jelajah Selangor Penyayang di perkarangan Stadium Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis: Wanita perlu amal gaya hidup sihat, jaga pemakanan

KUALA SELANGOR, 2 JULAI: Wanita perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan sebaiknya, kata yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

Datin Seri Masdiana Muhamad berkata makanan berkhasiat adalah permulaan untuk mendapatkan kesihatan yang baik.

“Kurangkan pengambilan makanan dan minuman manis sebaliknya banyakkan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ulam dan protein yang segar di samping makan mengikut waktu.

“Sebagai seorang wanita, isteri dan ibu perlu mulakan sesuatu amalan itu supaya lama-kelamaan ia menjadi ikutan kepada ahli keluarga yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Bual Bicara dan Hi-Tea Puspanita daerah Kuala Selangor bersama Pekawanis di Jelajah Selangor Penyayang dekat Stadium Utama Kuala Selangor di sini hari ini.

Berkongsi sering mengisi masa terluang dengan bersenam dan beriadah, Masdiana berkata itu antara aktiviti ‘keluar peluh’ beliau dan keluarga lakukan demi memastikan kesihatan terjaga.

“Kita mulakan bersenam sekurang-kurangnya setengah jam sehari kemudian lama-kelamaan cuba tingkatkan kepada sejam, dua jam sehari sehingga menjadi tabiat.

“Segelintir wanita mungkin agak sibuk sehingga tidak sempat untuk bersenam tetapi bagi saya kita perlu mula dahulu walaupun dengan hanya mengemas rumah,” katanya.


Pengarang :