Dr Fahmi Ngah (kiri) memberi taklimat kepada anggota penguat kuasa di Pusat Operasi C5i Smart Selangor, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pelan lima tahun capai status Negeri Pintar, berdaya huni

Dunia masa kini tidak menentu. Paling ketara, penularan wabak Covid-19 yang mendalam kesannya sehingga menjejaskan banyak aspek kehidupan.

Begitu juga perang Ukraine-Rusia, kenaikan harga makanan serta komoditi dan ramalan kemelesetan ekonomi di beberapa negara utama yang mengancam dunia.

Selangor harus bersiap sedia mengharungi saat-saat tidak menentu ini. Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan pelan pembangunan lima tahun 2021-2025 dengan tema Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur.

Rancangan Selangor Satu (RS-1) menyediakan empat teras yang menyeluruh. Bukan sahaja menekankan pembangunan ekonomi, ia juga menitik berat kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Berdasar maklumat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, wartawan Amin Ridzuan Ishak menggariskan empat teras RS-1, sasaran, petunjuk kejayaan dan bidang tumpuan.

SHAH ALAM, 22 JULAI: Tanggal 27 Julai menjadi satu detik baharu untuk warga negeri ini. Julung kalinya satu pelan hala tuju lima tahun diperkenal bertujuan melonjak status Selangor sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

Pastinya ramai berminat mengikuti rapat pembentangan Rancangan Selangor Satu (RS-1) oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS). Limpahan kesan pelaksanaan pelan pembangunan itu pasti dirasai kelak di peringkat nasional.

Pelbagai pihak mahu mengetahui perancangan Kerajaan Negeri memandangkan status Selangor sebagai negeri paling maju. RS-1 juga selaras Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), dibangunkan kerajaan persekutuan. Kedua-duanya perlu seiring untuk memastikan kelangsungan ekonomi negara.

Empat tema utama menjadi panduan bagi menjayakan perancangan itu. Pertamanya, ekonomi diikuti sosial, kelestarian dan tadbir urus berkesan, seperti diumum Amirudin pada simposium prapelancaran RS-1 2021-2025 pada 7 Julai.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) Dr Fahmi Ngah memberi taklimat kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, dua kanan) di Pusat Operasi C5i Smart Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pengukuhan ekonomi pastinya menjadi tumpuan mengambil kira aspirasi mengukuhkan Selangor sebagai pusat pertumbuhan. Turut disasar hasrat menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama dalam Malaysia dan rantau Asia.

Teras itu akan menekankan kepada sembilan sektor tumpuan, antaranya pelabuhan dan logistik, pelancongan, aeroangkasa, halal dan ekonomi digital.

Kerajaan akan menyelaras pembangunan serta pelaburan daripada syarikat bertaraf antarabangsa dan ‘unicorn’. Kelebihan negeri dalam sektor berkenaan akan dipacu bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan.

Jana hasil

Penjanaan pendapatan dan kebajikan pula antara enam bidang tumpuan bagi teras sosial. Kerajaan Selangor akan memastikan semua lapisan masyarakat berpeluang menjana hasil, selain melaksana intervensi sosial bersasar untuk miskin bandar serta luar bandar. Pada masa sama teras sosial ini berupaya memperkasa masyarakat dengan teknologi.

Teras kelestarian pula menampilkan usaha memulihara alam sekitar untuk generasi masa depan. Lima bidang tumpuan ditetapkan antaranya daya tahan serta pengurusan bencana, pengurusan air dan negeri rendah karbon.

Menerusinya, Kerajaan Negeri merancang menyediakan pembangunan awam pintar, mengutamakan kelestarian alam sekitar dan komitmen ke arah masa depan rendah karbon.

Gambar hiasan aeroangkasa. Foto BERNAMA

Teras terakhir iaitu tadbir urus S.M.A.R.T pula diperkenal bagi membina kerajaan yang produktif dan bertanggungjawab dalam menyempurnakan mandat massa.

Menggunakan pendekatan berpaksi rakyat, pelbagai sumber serta transformasi teknologi akan dimanfaatkan untuk meningkatkan sistem penyampaian awam.

Lima bidang tumpuan dalam teras itu antaranya penjajaran strategik matlamat serta dasar, pengurusan prestasi dan tenaga kerja tangkas.

Bagi menjayakan kesemuanya, pihak berkuasa negeri menyusun 101 program dan inisiatif di bawah teras ekonomi, sosial (72), kelestarian (38) dan tadbir urus (51).

Kerajaan Negeri juga menetapkan 14 petunjuk makro sebagai petunjuk pencapaian. Berikut pecahan mengikut tema strategik RS-1:

Ekonomi
■ Purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.5 hingga 7 peratus setahun
■ Raih pelaburan RM25 hingga 35 bilion setahun
■ Guna tenaga 3.5 juta hingga 3.8 juta pekerja
■ 70 peratus daripada 100 premis guna internet berkelajuan tinggi

Sosial
■ Tambah pendapatan isi rumah penengah kepada RM9,290
■ Turun miskin mutlak kepada 0.7 peratus
■ Rekod miskin relatif kepada 11 peratus
■ Catat skor 8.0 Indeks Kesejahteraan Keluarga

Kelestarian
■ Kurang 35 peratus intensiti gas rumah hijau berdasar KDNK
■ Sedia air bersih 24 jam
■ 15 peratus kadar kitar semula sisa

Tadbir urus
■ Selesai 100 peratus projek RS-1 berimpak tinggi
■ Semua pihak berkuasa tempatan negeri pada kedudukan 10 terbaik
■ 85 peratus perkhidmatan digital awam

RS-1 turut menampilkan strategi pembangunan berfokus geografi yang membolehkan lebih banyak kawasan menikmati laba ekonomi. Rancangan itu juga membantu pertumbuhan daerah luar bandar.

Tinjauan Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri merancang mewujudkan Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) di Sepang serta Kuala Langat dan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (sabda) yang memanfaatkan pertanian berteknologi tinggi.

Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE SMG) juga dirancang dibangunkan. Ia mempercepat pertumbuhan ekonomi, memulihara alam sekitar, melestari kehidupan, mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik dan peluang kerja.

RS-1 membuktikan iltizam Kerajaan Selangor menyediakan perancangan menyeluruh yang tidak hanya kepada keuntungan semata-mata tetapi mengutamakan kepentingan alam sekitar serta kesejahteraan hidup.

 


Pengarang :