AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelan rancak ekonomi negeri, prorakyat dibentang Rabu depan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pelan memperkukuh ekonomi dan kebajikan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang menggariskan empat strategik utama sebagai hala tuju.

Kerangka pembentukan Rancangan Selangor Satu (RS-1) meliputi pertumbuhan ekonomi yang menyelaras strategi pelaburan dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial.

Turut ditekankan ialah pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.

“Inisiatif RS-1 dibincang secara teliti, teratur dan seperti ‘living document’, sesuai dengan cabaran baharu yang belum pernah ditempuhi,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 16 Julai.

Rancangan itu melalui empat fasa utama melibatkan penjajaran visi, kerangka dan sasaran (pertama) sementara fasa dua merangkumi perincian diagnosis dan pembangunan kandungan.

Bagi fasa ketiga, ia melibatkan perincian dan penentuan keutamaan program sementara fasa empat pula merangkumi sesi validasi dan pemuktamadan laporan.

Pelan tersebut bakal dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 27 Julai ini dengan laporan berita boleh dibaca melalui akhbar dan portal Selangorkini.

Ia juga bakal dimuatkan dalam tiga edisi lain termasuk Mandarin, Tamil dan Inggeris serta disiarkan secara langsung melalui portal SelangorTV dan Facebook Media Selangor.


Pengarang :