Persembahan gendang Jepun dan tarian sempena Festival Bon Odori ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pelancong Jepun dijangka kekal ketiga paling ramai melawat Selangor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pengembara dari Jepun dijangka kekal ketiga tertinggi melawat Selangor menjelang akhir tahun ini, kata ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor.

Menurut Azrul Shah Mohamad, kedudukan itu seperti direkodkan pada 2019 mengambil kira pintu sempadan negara berkenaan yang mula dibuka secara berfasa.

“Dari segi sasaran kita tiada jumlah yang spesifik lagi, namun diakui pelancong Jepun adalah ketiga paling ramai datang ke Selangor pada dua tahun lalu (sebelum pandemik Covid-19).

Ketua PegawAI Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad

“Jadi memandangkan pintu sempadan negara mereka sudah dibuka secara berperingkat, kita mahu capai sasaran seperti tahun tersebut,” katanya di Kompleks Sukan Negara Shah Alam di sini malam tadi.

Ditemui sempena festival Bon Odori ke-46, beliau menjelaskan majoriti ketibaan pelawat dari negara matahari terbit itu bertumpu kepada aktiviti eko pelancongan dan pelancongan sukan selain ekspatriat yang bekerja di negeri ini.

Sebelum ini, Azrul dilaporkan berkata Selangor menjadi destinasi paling digemari pelancong China untuk tempoh lima tahun berturut-turut sejak 2017 hingga tahun lepas.

Pengembara dari negara berkenaan menyumbang 26 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong asing ke negeri ini pada 2021.

Pelawat dari Singapura pula mencatat kehadiran kedua tertinggi dengan lapan peratus diikuti Jepun (tujuh peratus), manakala 59 peratus pelancong domestik pada tahun sama.


Pengarang :