Stadium Shah Alam yang menjadi ikon Selangor perlu menjalani proses baik pulih secara menyeluruh. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembangunan semula kompleks sukan Shah Alam tidak guna dana negeri

SHAH ALAM, 18 JULAI: Pembangunan semula kompleks sukan Shah Alam berkonsepkan teknologi hijau dan mesra alam tidak melibatkan sebarang dana Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kos membaik pulih yang terlalu tinggi sekitar RM787 juta dan kekangan yang dihadapi.

“Setelah meneliti semua cadangan dan kertas kerja yang diterima sejak 2013, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk melaksana pembangunan baru Kompleks Sukan Shah Alam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Dalam pada itu, beliau mengakui isu polemik dan kedaifan Stadium Shah Alam dilihat sejak berkhidmat sebagai EXCO sukan dan pengurus pasukan Bola Sepak Selangor .

Justeru, katanya, pembangunan semula bangunan itu termasuk kemudahannya menandakan era baharu dan detik bersejarah buat seluruh rakyat negeri ini.

“Polemik isu Stadium Shah Alam bukanlah baharu bagi saya. Isu dan keadaan (Stadium Shah Alam) amat dekat di hati saya, tambahan pula kenangan dan memori memenangi Piala Malaysia terakhir bersama pasukan Merah Kuning,” katanya.

Pada 15 Julai, Amirudin menegaskan tiada dana awam digunakan bagi projek yang dijadual bermula awal tahun depan berikutan pelaksanaannya bersifat perkongsian awam-swasta.

Menurutnya, projek itu dijayakan pemaju Malaysian Resources Corporation Berhad dan syarikat berkenaan akan dianugerahkan pertukaran tanah (land swap) kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.

Projek itu juga akan memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan terbabit seperti lokasi strategiknya dan jaraknya yang berhampiran stesen laluan transit aliran ringan (LRT3).


Pengarang :