Interceptor berfungsi dangan cara memanfaatkan arus sungai bagi memerangkap sampah sarap terapung di Sungai Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemulihan Sungai Klang jadi contoh, terangkum dalam pelan majukan negeri

SHAH ALAM, 25 JULAI: Usaha pembersihan dan pemulihan Sungai Klang antara perkara utama yang terangkum dalam Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang akan dibentang Rabu ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata inisiatif itu sejajar matlamat Kerajaan Negeri menjadikan lokasi berkenaan sebagai model atau contoh kepada pembersihan sungai lain.

“Sungai Klang akan menjadi model dari segi pengurusan sumber air dan kredit karbonnya. Pembangunan bersepadu akan diwujudkan supaya menjadi contoh kepada sungai lain.

“Kesinambungan daripada usaha yang kita buat sekarang akan dimasukkan dalam RS-1,” katanya selepas meninjau pembersihan dan pemuliharaan hidupan laut di Tenggol, Terengganu pada Sabtu.

RS-1 yang dibentang julung kali pada 27 Julai ini meliputi pelan lima tahun bagi tempoh 2021-2025 untuk membina daya tahan kukuh negeri bagi mendepani cabaran masa depan.

Dalam pada itu, Ir Izham berkata kerja pengorekan dan pelebaran untuk menambah baik Sungai Klang akan dimulakan bulan ini oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd dengan kos RM700 juta.

Jelasnya, pengorekan yang dibuat dari Klang hingga sempadan Kuala Lumpur untuk membantu pengurusan banjir di Lembah Klang, mewujudkan ekopelancongan dan kesalinghubungan.

“Usaha pemulihan tidak terhenti meskipun ada pembangunan di Sungai Klang. Kita akan pasang perangkap sampah di anak sungai dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penggunaan jentera pembersihan sungai (Interceptor) juga diteruskan selain menguatkuasakan prinsip pencemar membayar (polluter pays principle) ke atas premis yang mencemarkan sungai,” katanya.


Pengarang :