Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli (empat, kanan) mengucapkan tahniah kepada penerima biasiswa dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 12 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pendidikan berterusan penting, perkasa wanita bantu pembangunan negeri

SHAH ALAM, 12 JULAI: Pendidikan berterusan penting untuk memperkasa wanita supaya golongan itu mampu membantu proses pembangunan negeri.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli berkata usaha itu selaras pelaksanaan Dasar Wanita Selangor khususnya titik tumpuan dua iaitu dalam aspek ekonomi dan kehidupan.

“Pendidikan berterusan memberi penekanan kepada menimba ilmu, mengubah sikap dan menambah kemahiran melalui pengalaman, latihan serta perbincangan secara formal atau tidak formal.

“Justeru wanita perlu diperkasa dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keyakinan diri dalam membantu proses pembangunan negeri ini,” katanya ketika membacakan teks ucapan Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Ucapan dibacakan sempena majlis penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor kohort dua bagi program pembelajaran sepanjang hayat di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Dalam pada itu, Juwairiya yang juga wakil rakyat Bukit Melawati berkata pembangunan mampan hanya boleh dicapai jika wanita diberi peluang sama rata seperti lelaki.

Jelasnya wanita mempunyai tanggungjawab bagi memastikan setiap perancangan kemajuan dapat dilaksana sekali gus membantu ekonomi individu serta negeri terutama pada fasa endemik.

“Berdasarkan bancian Jabatan Perangkaan Negara pada 2020, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Selangor ialah 69.6 peratus berbanding 81.8 peratus lelaki.

“Statistik ini menunjukkan wanita memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi negeri. Maka usaha ini (biasiswa wanita selangor) diharap boleh meningkatkan tahap pendidikan serta kemahiran wanita,” katanya.


Pengarang :