Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan surat kelulusan bersyarat pemberimilikan Kampung Melayu Subang kepada penerima sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Kampung Melayu Subang lega peroleh hak milikan tanah

PETALING JAYA, 26 JULAI: Lapan penduduk Kampung Melayu Subang di sini lega apabila mereka memperoleh surat kelulusan bersyarat pemberimilikan.

Penerima Wan Nuraini Wan Abdullah, 54, berkata dokumen itu dinantikannya sejak permohonan awal dibuat Allahyarham bapanya puluhan tahun lalu tetapi jawapannya menghampakan.

“Atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Shatiri Mansor akhirnya rintihan kami didengari,” katanya yang mahu membina rumah di tapak itu untuk memudahkan adik-beradiknya berkumpul.

Wan Nuraini Wan Abdullah. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Penerima yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah pula berkata perasaan gembira sukar digambarkan dengan kata-kata selepas pemilikan lot tanah diluluskan.

“Menanti hampir 50 tahun untuk mendapatkannya. Mulanya, saya sangka tiada rezeki dan hampir putus asa. Namun, tidak sampai setahun saya cuba mohon semula, Kerajaan Negeri meluluskan,” katanya.

Amirudin menyampaikan dokumen berkenaan kepada lapan penerima dalam program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada 24 Julai.

Kerajaan Negeri sebelum ini turut memberi milikan tanah kepada penduduk sekitar Gombak, Sabak Bernam, Hulu Langat dan Kuala Langat. Setakat Jun, hampir 100,000 isu pemilikan tanah tertunggak diselesaikan sejak 2008.


Pengarang :