AGENDANASIONAL

Pengarah syarikat terjerat ‘love scam’ rugi RM5.29 juta

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Seorang wanita yang merupakan pengarah syarikat di Ipoh, Perak kerugian RM5.29 juta setelah ditipu seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat yang dikenalinya di laman sosial “online dating”.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata mangsa penipuan “love scam” berusia 64 tahun itu telah membuat laporan polis semalam.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai pekerja paramedik di Hospital California memperdayakan mangsa dengan menyatakan beliau (lelaki itu) menerima kontrak besar pembekalan peralatan perubatan bernilai US$22 juta dan perlukan dana modal permulaan serta berjanji ingin mengahwini mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam

Terpedaya dengan janji tersebut, Azmi berkata mangsa telah melakukan 120 transaksi pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang diberikan suspek secara berperingkat antara Januari hingga Jun 2022 berjumlah keseluruhan RM5.29 juta.

“Mangsa telah menggunakan kesemua wang simpanan dan membuat pinjaman dengan Pemberi Pinjam Wang Berlesen. Semakan awal mendapati akaun bank yang terlibat (akaun lelaki itu) juga mempunyai rekod untuk beberapa kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.

Azmi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

 


Pengarang :